Ketegangan memuncak, Eropah mula bawa keluar rakyat dari Niger - Utusan Malaysia

Ketegangan memuncak, Eropah mula bawa keluar rakyat dari Niger

WARGANEGARA Perancis dan Eropah mendaftar sebelum menaiki penerbangan di luar terminal berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Diori-Hamani di Niamey,Niger.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIAMEY: Negara-negara Eropah mula membawa keluar rakyatnya dari Niger susulan ketegangan yang tercetus di negara itu dengan penerbangan pertama selamat tiba di Perancis dan Itali.

Perancis mula memindahkan rakyatnya dari Niger di tengah-tengah sentimen anti-Perancis berikutan rampasan kuasa oleh junta tentera minggu lalu.

EROPAH BAWA PULANG RAKYATNYA

Seramai 262 orang dilaporkan tiba di Paris awal pagi semalam apabila rampasan kuasa tersebut turut mendorong demonstrasi besar-besaran menyerang kedutaan Perancis.

Perancis terpaksa menghantar pesawat kerana penutupan ruang udara Niger menyebabkan orang ramai tidak dapat keluar dari negara itu.

Bagaimanapun, Perancis memaklumkan tidak bercadang untuk menghantar pulang lebih 1,000 tenteranya yang ditempatkan di Niger dalam usaha menentang keganasan kumpulan militan di negara itu.

Jerman turut menggesa rakyatnya menerima tawaran Perancis membantu rakyat Eropah pulang dan Itali dilaporkan mengatur penerbangan ke Rom dengan membawa 36 warga Itali, 21 rakyat Amerika Syarikat (AS) dan seorang warga Britain.

Sepanyol juga sedang bersiap sedia untuk memindahkan lebih 70 rakyatnya melalui udara.

Rancangan pemindahan itu didakwa tidak akan menjejaskan operasi syarikat bahan api nuklear Perancis, Orano di Niger kerana kebanyakan kakitangannya adalah warga tempatan.

United Kingdom (UK) bagaimanapun tidak menganjurkan operasi membawa pulang rakyatnya namun menggesa warganya di Niger untuk tinggal di dalam rumah.

Kesatuan Eropah (EU) dan AS berkata, pihaknya tidak merancang untuk mengeluarkan kakitangannya dari Niger ketika ini kerana belum melihat sebarang ancaman kepada warganya atau kemudahan mereka di negara itu.

ANGKARA RUSSIA?

Ketegangan di Niger dilihat semakin memuncak selepas junta tentera di Burkina Faso dan Mali memberi amaran bahawa sebarang percubaan untuk mengembalikan kuasa Presiden Niger, Mohamed Bazoum yang digulingkan akan dilihat sebagai pengisytiharan perang.

Kedua-dua jiran Niger yang juga bekas negara jajahan Perancis itu didakwa sudah beralih arah menyokong Russia selepas melakukan rampasan kuasa beberapa tahun lalu.

Niger yang kaya dengan uranium, menjadi sekutu utama Barat dalam memerangi ekstremisme kumpulan militan di Sahel dengan kedua-dua Perancis dan AS mempunyai pangkalan tentera di kawasan itu.

Selepas pemimpin tentera Mali memilih untuk bekerjasama dengan tentera upahan Wagner Russia pada 2021, Perancis memindahkan pusat operasi memerangi keganasan serantaunya ke Niger.

Ahad lalu, penunjuk perasaan membakar dinding pekarangan kedutaan Perancis di ibu negara Niamey sambil membawa sepanduk dan melaungkan slogan ‘hidup Russia, hidup Putin’ dan ‘jatuhkan Perancis’.

Terdahulu, Perancis menyambut baik kenyataan kumpulan 15 negara blok Kesatuan Afrika dan Komuniti Ekonomi Negara-negara Afrika Barat (ECOWAS) untuk memberi junta tentera masa seminggu bagi mengembalikan semula kuasa Bazoum yang dikurung di Istana Presiden di Niamey.

Presiden Chad,  Mahamat Idris Déby dilaporkan berada di Niger kelmarin, mengetuai usaha rundingan bagi pihak ECOWAS dan dilihat sempat bergambar dengan Bazoum.

Langkah diplomatik itu bagaimanapun mendorong Burkina Faso dan Mali mengeluarkan kenyataan bersama yang mengancam untuk berundur dari blok itu dan turun menyokong junta jika ECOWAS cuba campur tangan secara ketenteraan di Niger.

Junta Niger tidak mengulas mengenai tuntutan Ecowas, tetapi berikrar untuk mempertahankan negara itu daripada sebarang pencerobohan oleh kuasa serantau atau Barat dan menuduh Perancis merancang campur tangan tentera.-REUTERS/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya