Hutan Bandar JB dinaik taraf, jadi pusat tumpuan aktiviti riadah malam - Utusan Malaysia

Hutan Bandar JB dinaik taraf, jadi pusat tumpuan aktiviti riadah malam

ONN HAFIZ Ghazi (tengah) bergambar bersama-sama para peniaga pada Majlis Pelancaran Insentif Khemah Usahawan Mikro Johor di Bazar Karat, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hutan Bandar Johor Bahru yang berkeluasan 20 hektar di pusat bandar ini bakal berwajah baharu dan menjadi pusat tumpuan pengunjung bagi mengadakan aktiviti riadah pada waktu malam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, sebanyak RM6 juta diperuntukan bagi menaik taraf infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan tersebut yang membabitkan aspek pencahayaan, parkir, pintu masuk, taman tema air dan tapak perkhemahan.

“Kita jangka kerja menaik taraf bermula pada Januari 2026 dan kemungkinan suku keempat tahun depan ia akan dibuka secara berfasa (untuk naik taraf).

“Hasratnya adalah untuk menjadikan Hutan Bandar Johor Bahru berubah wajah, lebih terang dan lebih selamat untuk orang ramai terutamanya bagi aktiviti malam seperti joging dan beriadah,” katanya  ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Insentif Khemah Usahawan Mikro Johor yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di sini malam tadi.

Mohd. Jafni berkata, langkah tersebut merupakan salah satu usaha mewujudkan kawasan tarikan pelancong yang turut dilengkapi dengan gerai dan kafe serta Tunku Mahkota Ismail Youth Centre.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi kerja-kerja pengindahan dan menaik taraf landskap di Taman Sri Lanang, di sini yang akan bermula pada September ini.

“Kita juga akan membaik pulih infrastruktur landskap Taman Merdeka, di sini yang sedang berjalan dan dijangka siap pada suku ketiga tahun depan dengan keseluruhan kos RM3.47 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah dalam ucapannya memaklumkan Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) yang diselaraskan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) dan Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) setakat ini telah melaksanakan 78 inisiatif membabitkan 13,223 usahawan.

Menurutnya, inisiatif pembiayaan BRJohor Niaga menerusi kolaborasi kerajaan negeri dan Bank Rakyat yang dilancarkan tahun lalu telah membantu 413 usahawan dengan jumlah pembiayaan RM26 juta.

“Saya menyeru usahawan terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negeri ini merebut peluang memanfaatkan program pembiayaan tersebut yang dibuka sehingga tahun depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN