Kes kanak-kanak AS maut akibat senjata api catat rekod tertinggi

Kes kanak-kanak AS maut akibat senjata api catat rekod tertinggi

PENUNJUK perasaan berkumpul di bangunan Capitol Tennessee bagi menggesa undang-undang kawalan senjata api lebih ketat di Nashville. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Satu kajian baharu mendedahkan kes kematian akibat senjata api dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Amerika Syarikat (AS) mencecah rekod tertinggi.

Kajian yang menggunakan pangkalan data mortaliti dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), diterbitkan dalam jurnal American Academy of Pediatrics.

Kajian itu mendapati seramai 4,752 kanak-kanak meninggal dunia akibat kecederaan berkaitan senjata api pada tahun 2021.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan daripada 4,368 kematian direkodkan pada tahun 2020 dan 3,390 kes kematian pada 2019.

Keganasan senjata api menjadi punca utama kematian dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di AS sejak tahun 2020.

Kajian itu diterbitkan ketika penggubal undang-undang Tennessee mengadakan sesi khas mengenai keselamatan awam selepas insiden tembakan sekolah Nashville pada awal tahun ini mengorbankan enam individu termasuk tiga kanak-kanak.

Seorang pakar pediatrik yang tidak terlibat dalam kajian itu, Annie Andrews mengakui dia pernah merawat ramai kanak-kanak yang berdepan kecederaan akibat terkena tembakan senjata api.

“Saya tidak pernah menyangka akan merawat begitu ramai kanak-kanak dengan peluru di tubuh mereka.

“Hakikatnya, terdapat kanak-kanak cedera terkena tembakan itu dirawat di unit rawatan rapi pediatrik di hampir semua hospital di seluruh negara ini,” katanya.

Kajian itu juga menunjukkan kanak-kanak dan remaja kulit hitam menyumbang sekitar 67 peratus pembunuhan berkaitan senjata api.

Kanak-kanak dan remaja kulit putih pula merekodkan sekitar 78 peratus kes bunuh diri berkaitan senjata api.

Dalam pada itu, seorang pelajar junior dari Universiti Vanderbilt di Nashville, Iman Omer menyifatkan kajian itu amat membimbangkan.

“Hampir setiap tahun, kira-kira 128 kanak-kanak dan remaja di Tennessee meninggal dunia akibat senjata api,” katanya ketika menuju ke ibu kota untuk menyertai protes menuntut undang-undang senjata api lebih ketat.

Terdahulu, Gabenor Tennessee, Bill Lee dalam sesi khas meminta wakil rakyat untuk memperkukuhkan undang-undang yang bertujuan mencegah senjata api dimiliki oleh individu yang dianggap sebagai ancaman.

Bagaimanapun, pemimpin itu menghadapi bantahan daripada penggubal undang-undang Republikan lain. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN