Kebakaran hutan tukar Maui jadi padang jarak padang tekukur

Kebakaran hutan tukar Maui jadi padang jarak padang tekukur

KEMUSNAHAN yang dapat dilihat di sekitar Lahaina, Maui,Hawaii akibat kebakaran hutan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAUI: Kebakaran hutan terburuk yang melanda pulau Maui di Hawaii dilaporkan sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 55 nyawa.

Bencana alam yang disifatkan terbesar dalam sejarah negeri itu menjadikan kawasan kejiranan di pulau berkenaan seakan tanah terbiar selepas memusnahkan lebih 1,000 struktur bangunan.

Ketua Polis Maui, John Pelletier memberi amaran jumlah kematian dijangka terus meningkat melebihi fenomena tsunami pada tahun 1960 yang mengorbankan 61 orang.

Bencana itu bermula pada malam Selasa lalu apabila tiga kebakaran berlaku di Maui dan memusnahkan bahagian barat pulau itu.

Menurut The Guardian, api merebak begitu pantas, dengan beberapa mangsa yang terselamat dilaporkan terpaksa terjun ke dalam laut sebelum diselamatkan oleh pengawal pantai.

Sekurang-kurangnya 30 orang cedera akibat luka melecur dan terhidu asap dengan beribu-ribu lagi kehilangan tempat tinggal.

Gabenor Hawaii, Josh Green berkata, pihak berkuasa bertungkus lumus mencari mangsa yang terselamat terutamanya di komuniti bersejarah Lahaina, yang dilaporkan hampir musnah sepenuhnya dijilat api.

“Tahap kemusnahan sangat mengejutkan seakan terkena letupan bom.

“Pemulihan akan mengambil masa bertahun-tahun yang pastinya menelan belanja berbilion dolar. Tetapi bandar itu akan dibina semula,” katanya.

Lapangan terbang Kahului di Maui turut dihuni 2,000 pelancong yang terkandas selepas penerbangan mereka dibatalkan akibat cuaca buruk.

Taufan Dora yang membadai dengan kelajuan angin sehingga 96 kilometer sejam menyukarkan anggota bomba memadam kebakaran ketika Maui dilanda musim kemarau.

“Cuaca kering dan tiupan angin membuatkan situasi kebakaran menjadi sangat berbahaya dan boleh merebak di luar kawalan dengan sangat cepat,” kata Pakar Meteorologi Honolulu, Jeff Powell.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden meluluskan pengisytiharan bencana untuk Maui yang membolehkan bantuan persekutuan digunakan dalam usaha pemulihan kawasan terjejas.

Biden turut berjanji tindak balas pantas kerajaan persekutuan akan memastikan penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan orang tersayang mendapat bantuan segera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya