Indonesia, Boeing meterai MoU penjualan jet F-15EX

Indonesia, Boeing meterai MoU penjualan jet F-15EX

PRABOWO Subianto (tengah) bergambar bersama delegasi Indonesia dan wakil Boeing ketika melawat fasiliti pengeluaran jet  F-15EX di St. Louis, Missouri.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia dan pengeluar pesawat Amerika Syarikat (AS), Boeing bersetuju dengan perjanjian penjualan 24 jet pejuang F-15EX ketika ekonomi terbesar Asia Tenggara itu mempertingkatkan usaha memodenkan aset pertahanannya.

Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) mengenai komitmen penjualan antara tentera udara Indonesia dan pegawai Boeing disaksikan Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto di fasiliti pengeluaran syarikat itu di St Louis, Missouri.

Boeing dalam satu kenyataan berkata, perjanjian itu akan meletakkan Indonesia di peringkat tertinggi keupayaan penguasaan udara.

Bagaimanapun kedua-dua pihak enggan mendedahkan nilai penjualan jet tersebut kerana masih tertakluk kepada kelulusan kerajaan AS.

F-15EX ialah versi jet pejuang yang paling canggih dan hanya digunakan di sekitar enam negara di seluruh dunia.

Jakarta yang kini memiliki jet F-16 buatan AS dan jet Sukhoi dari Russia bersetuju untuk membeli 42 jet pejuang Rafale buatan Perancis dalam perjanjian bernilai AS$8.1 bilion (RM37.6 bilion) tahun lalu.

Penjualan jet F-15EX dibuat selepas Ketua Pentagon, Lloyd Austin melawat Jakarta pada November lalu dalam usaha meningkatkan kerjasama operasi keselamatan dengan tentera AS selain melengkapkan kontinjen jet F-16 Indonesia.

Tahun lalu, sekurang-kurangnya 4,000 tentera Indonesia dan AS mengadakan latihan ketenteraan bersama dikenali sebagai ‘Perisai Super Garuda’ ketika Washington dan sekutunya menyatakan kebimbangan tentang ketegasan China yang semakin meningkat di Pasifik.

Latihan selama dua minggu itu turut disertai oleh tentera dari Australia Singapura dan Jepun dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertindak sebagai pemerhati.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN