Guru cukur rambut murid perempuan tak pakai anak tudung - Utusan Malaysia

Guru cukur rambut murid perempuan tak pakai anak tudung

SEKOLAH Menengah Pertama Negeri (SMPN) 1 Sukodadi, Lamongan, Jawa Timur.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SURABAYA: Seorang guru di sebuah sekolah menengah di Lamongan, Jawa Timur digantung kerja selepas bertindak mencukur rambut 14 pelajar perempuan berhijab hanya kerana mereka tidak memakai anak tudung.

Ketua Sekolah Menengah Pertama Negeri (SMPN) 1 Sukodadi, Harto, berkata, kejadian itu berlaku ketika seorang guru yang hanya dikenali sebagai EN mengajar muridnya di dalam kelas 23 Ogos lalu.

“Dalam kelas tersebut, guru mendapati 14 orang murid yang berhijab tidak memakai anak tudung di dalamnya.

“Mengetahui perkara ini, EN kemudian menghukum pelajar dengan memotong rambut mereka menggunakan mesin cukur hingga kepala remaja perempuan berkenaan menjadi separa botak,” katanya kepada CNN Indonesia.

Menurut Harto, tiada peraturan di sekolah itu yang mewajibkan pelajar perempuan memakai anak tudung menyebabkan ibu bapa pelajar mengadu tidak berpuas hati dengan tindakan keterlaluan guru itu.

Katanya, perbincangan diadakan keesokan harinya dan ibu bapa pelajar bersetuju memaafkan guru berkenaan selepas dia mengakui apa yang dilakukannya adalah salah.

Bagaimanapun, menurut Harto, pihak sekolah tidak membiarkan sahaja perkara itu sebaliknya bertindak melaporkannya kepada Pejabat Pendidikan Lamongan.

“Ia adalah satu tindakan yang salah. Kami telah melaporkannya kepada pihak atasan dan kini guru itu sudah digantung dan dilarang mengajar di SMPN 1 Sukodadi.

“Saya kini sedang berusaha mencari pakar psikologi untuk membantu pelajar-pelajar yang menjadi mangsa guru itu agar mereka tidak mengalami trauma yang berpanjangan,” jelasnya.

Sementara itu, keluarga mangsa yang dihubungi media enggan memberikan sebarang maklumat berhubung kejadian itu kerana bimbang anak mereka semakin trauma.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya