ATLANTA: Foto penjara bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika beliau ditahan di penjara Georgia tular dan mencetus perdebatan hangat selepas dikongsi secara meluas oleh pengkritik dan penyokongnya di media sosial.
Foto banduan dengan nombor P01135809 yang dikeluarkan pihak berkuasa Georgia menunjukkan Trump merengus dan memandang tajam ke arah kamera.
SERAH DIRI
Gambar tersebut diambil selepas beliau tampil menyerah diri ekoran tuduhan melakukan kegiatan haram dan cubaan konspirasi membatalkan keputusan pilihan raya di negeri berkenaan.
Kes jenayah itu merupakan yang keempat melibatkan Trump tahun ini termasuk dakwaan rasuah, penyimpanan dokumen sulit negara secara haram dan penglibatan dalam serangan maut ke atas Kapitol AS.
Proses pendakwaan dijangka berjalan lancar kerana Trump dan peguamnya dilaporkan sudah membuat rundingan perjanjian bon.
Peguam Daerah Fulton, Fani Willis menetapkan sehingga tengah hari semalam untuk Trump dan 18 lagi individu yang turut terlibat dalam kes itu tampil menyerah diri.
Setakat ini, Trump dan 11 yang lain sudah menyerah diri manakala bekas Ketua Kakitangan White House, Mark Meadows yang menyerah diri skelmarin sudah dibebaskan dengan bon AS$100,000 (RM465,500).
GAMBAR JADI PERHATIAN
Imej penjara mewakili satu lagi detik luar biasa untuk Trump, yang tidak pernah menyerahkan gambar ketika membuat penampilan dalam tiga kes jenayahnya sebelum ini.
Tidak seperti pihak berkuasa lain, Georgia memilih untuk memproses Trump seperti pesalah termasuk mengambil cap jari dan foto penjara.
Trump hanya menghabiskan masa kira-kira 20 minit di penjara tersebut sebelum kembali ke kelab golfnya di New Jersey.
Sebelum menaiki pesawat peribadinya di lapangan terbang Hartsfield-Jackson di Atlanta, beliau menegaskan, pendakwaan tersebut adalah bermotifkan politik.
“Apa yang berlaku di sini adalah fitnah keadilan. Saya tidak melakukan kesalahan, dan semua orang tahu tentangnya,” katanya kepada pemberita.
Berpuluh-puluh penyokong, mengibarkan sepanduk wajah Trump dan bendera AS ketika menunggu ketibaannya di penjara berkenaan.
Ramai yang mempersoalkan mengapa foto itu diperlukan.
“Foto penjara tidak perlu diambil, namun ia dilakukan untuk menyakiti Trump. Tetapi jelas perkara itu tidak akan berlaku,” kata Malcolm Davis, 19.
Bagaimanapun, bekas calon kongres Republikan, Laura Loomer berpendapat, foto itu sangat istimewa dan bakal mencipta sejarah.
“Kami mahu mencetak gambar itu pada kemeja-T. Ia akan pergi ke seluruh dunia. Ia akan menjadi imej yang lebih popular daripada Mona Lisa,” katanya.-AFP/REUTERS