OTTAWA: Perintah darurat dikeluarkan di wilayah British Columbia, Kanada ketika kebakaran hutan semakin merebak dan dikhuatiri memusnahkan lebih banyak kediaman penduduk di sekitar kawasan bandar West Kelowna.
Ketua Menteri British Columbia, David Eby memberi amaran situasi kebakaran hutan di wilayah itu semakin teruk dan dijangka memberi cabaran besar kepada pihak berkuasa untuk meredakan keadaan.
“Tahun ini, kita berdepan dengan kebakaran hutan yang luar biasa dan berdasarkan keadaan ketika ini, pihak berkuasa mengisytiharkan darurat di wilayah British Columbia.
“Semakin ramai penduduk dipindahkan akibat bencana yang berlaku dan sekatan perjalanan boleh dikenakan di beberapa tempat sekiranya masyarakat tidak mematuhi nasihat keselamatan yang dikeluarkan,” kata Eby.
Kebakaran hutan McDougall Creek itu dilaporkan sudah merebak di kawasan seluas 6,800 hektar dalam tempoh 24 jam.
Keadaan itu menyebabkan 4,800 penduduk diarahkan berpindah segera.
Dalam perkembangan sama, kira-kira 22,000 atau separuh populasi hilang tempat tinggal di Wilayah Barat Laut Kanada akibat kebakaran hutan.
Di Yellowknife, hampir kesemua penduduknya sudah berpindah keluar menggunakan pengangkutan udara, darat dan air susulan kebakaran hutan yang berlaku.
Terdahulu, Ketua Bomba West Kelowna, Jason Brolund menyifatkan kebakaran hutan yang berlaku ‘amat memusnahkan’.
Katanya, pasukan bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran bagi melindungi komuniti.
Setakat ini, tiada kes kematian dilaporkan biarpun beberapa kawasan mengalami kemusnahan infrastruktur yang teruk.
Seorang penduduk, Juliana Loewen yang tinggal di Kelowna memberitahu, kawasan sekitar diselubungi asap tebal dan ada penduduk yang terjun ke dalam tasik bagi menyelamatkan diri apabila kediaman mereka musnah terbakar.
“Api merebak sangat cepat sehinggakan anda tidak tahu apa yang mahu dilakukan kerana terlalu panik.
“Kebakaran hutan yang berlaku kali ini amat teruk, kami tidak pernah melihat sesuatu seperti ini,” ujarnya.