LONDON: Twitter mengehadkan jumlah ciapan yang boleh dibaca oleh pengguna setiap hari dalam usaha mengurangkan tahap manipulasi data dan sistem laman itu.
Sekatan berkenaan diumumkan Pemilik Twitter, Elon Musk Jumaat lalu namun menurut laman web Downdetector yang menjejaki gangguan dalam talian, tindakan itu menyebabkan lebih 7,500 pengguna berdepan masalah menggunakan perkhidmatan media sosial tersebut sejak kelmarin.
Keadaan itu menyebabkan hashtag #TwitterDown sohor kini di kebanyakan kawasan di seluruh dunia.
Bagaimanapun, lapor Al Jazeera, jumlah pembaca yang terkesan disifatkan masih agak kecil berbanding lebih 200 juta pengguna Twitter di seluruh dunia.
Musk pada mulanya berkata, akaun yang disahkan akan dihadkan kepada 6,000 siaran sehari, manakala pengguna yang tidak disahkan akan dihadkan kepada 600 siaran sehari.
Akaun baharu yang belum disahkan pula dihadkan kepada hanya 300 siaran sehari.
Musk kemudian meningkatkan had bacaan sementara kepada 10,000 siaran sehari untuk pengguna yang disahkan manakala 1,000 siaran sehari dibenarkan kepada akaun yang tidak disahkan dan 500 siaran sehari pula bagi pengguna baharu yang belum disahkan.
Dalam ciapannya, Musk menyifatkan sekatan baharu itu sebagai langkah sementara yang terpaksa diambil kerana pihaknya mendapati banyak data dirompak sehingga menjejaskan perkhidmatan untuk pengguna biasa.
Musk yang membeli Twitter pada harga AS$44 bilion (RM205.5 bilion) tahun lalu sebelum ini turut menyatakan rasa tidak senang dengan firma kecerdasan buatan seperti OpenAI yang memiliki aplikasi ChatGPT kerana menggunakan data daripada Twitter untuk melatih model bahasa bagi kecerdasan buatan (AI) mereka.