JAKARTA: Tiga penduduk daerah Semanu di Gunung Kidul dilaporkan meninggal dunia selepas dijangkiti virus antraks yang menular ketika sambutan Aidiladha di wilayah berkenaan.
Ketua Biro Komunikasi dan Khidmat Masyarakat Kementerian Kesihatan, Siti Nadia Tarmizi berkata, sehingga kini sebanyak 93 penduduk didapati positif antraks selepas termakan daging lembu yang dijangkiti virus berkenaan.
Jelas Siti Nadia, kementerian berkenaan sedang menyelaraskan pejabat kesihatan tempatan untuk menjalankan siasatan epidemiologi berhubung punca pendedahan berpuluh-puluh penduduk kepada virus antraks.
“Kita akan menyiasat sama ada jangkitan kepada penduduk disebabkan memakan ternakan yang positif antraks atau sumber makanan ternakan lembu dan binatang korban diperolehi daripada rumput atau tanah yang terdedah kepada spora bakteria antraks.
“Oleh kerana virus antraks sangat kuat di dalam tanah, ia tidak mudah dihapuskan,” katanya kepada CNN Indonesia.
Siti Nadia turut memberi amaran kepada seluruh rakyat negara itu khususnya penduduk Gunung Kidul yang kerap melaporkan kes antraks supaya lebih berhati-hati ketika memakan daging lembu yang dibeli atau dijadikan binatang korban.
“Sekiranya penduduk mengetahui lembu atau kambing yang tiba-tiba sakit atau menunjukkan simptom antraks, maka ternakan itu perlu segera dibunuh dan ditanam, bukan dijual atau dimakan. Orang ramai juga wajib memproses daging secara bersih dan teliti.
“Seperti diketahui, pengambilan daging lembu paling besar semasa sambutan Aidiladha, sebab itu kita sentiasa mengingatkan setiap ternakan atau binatang korban perlu dihantar untuk pemeriksaan berkala di jabatan veterinar,” katanya.