KYIV: Pihak berkuasa Ukraine menemukan serpihan dipercayai dari lapan bangkai pesawat pejuang Britain, Hurricane yang digunakan ketika zaman Perang Dunia Kedua.
Lapor The Guardian, serpihan pesawat itu ditemukan tertimbus berhampiran sebutir bom tidak meletup yang turut berasal dari era sama, di sebuah kawasan hutan di selatan Kyiv.
Pesawat pejuang itu dipercayai dihantar ke Kesatuan Soviet oleh Britain selepas Nazi Jerman menyerang negara itu pada tahun 1941.
Bekas juruterbang yang mengetuai kerja-kerja penggalian, Oleks Shtan menyifatkan penemuan serpihan pesawat pejuang itu amat jarang berlaku di Ukraine.
“Penemuan itu amat penting untuk sejarah penerbangan kerana tiada pesawat pajakan pernah ditemukan di kawasan ini sebelum ini,” katanya kepada BBC.
Dilaporkan, Hurricane pernah berjaya menembak jatuh lebih separuh semua pesawat pejuang milik Jerman ketika kempen ketenteraan Perang Dunia Kedua, Battle of Britain.
Hurricane dikatakan merupakan sebahagian daripada bekalan hampir 3,000 pesawat pejuang yang dihantar ke USSR antara tahun 1941 dan 1944 untuk menyokong usaha perang Soviet.
“Hurricane merupakan pesawat yang kukuh dan mudah untuk diterbangkan.
“Ia stabil sebagai platform senjata api dan sesuai juga bagi para juruterbang yang tidak mempunyai pengalaman. Hurricane merupakan pesawat boleh dipercayai,” katanya.
Serpihan pesawat yang karat dilaporkan terpisah daripada beberapa komponen penting seperti radio dan senjata lalu diseret ke kawasan hutan.
Pihak pengurusan Muzium Penerbangan Nasional Ukraine berhasrat memasang semula semua bahagian pesawat itu dan mempamerkan kepada umum.