Rakyat AS kena `panggang'  - Utusan Malaysia

Rakyat AS kena `panggang’ 

PENDUDUK berenang di Barton Creek Pool di Austin, Texas ketika gelombang haba melanda AS. - AFP  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Musim panas yang melanda Amerika Syarikat (AS) ketika ini dijangka menjadi lebih ekstrem pada minggu ini.

Jangkaan itu dibuat ketika kawasan barat daya AS bersiap sedia mencapai rekod suhu tertinggi yang tidak pernah dialami sebelum ini.

Lapor The Guardian, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) mengeluarkan amaran mengenai cuaca ekstrem yang bakal melanda pada musim panas ini.

Amaran cuaca panas ekstrem itu yang meliputi seluruh kawasan metro Phoenix dan Arizona, akan terus berkuat kuasa sehingga Ahad ini. 

Amaran itu dikeluarkan seminggu selepas dunia mencatatkan suhu terpanas yang mana bulan Jun tahun ini direkodkan sebagai bulan paling panas di AS, digabungkan dengan perubahan iklim dan corak El-Nino.

“Kami menjangkakan cuaca panas ekstrem semasa akan berlanjutan hingga minggu depan, malah ia berkemungkinan menyaingi gelombang haba terburuk sebelum ini di kawasan ini.

“Minggu ini akan menjadi sangat panas dengan bacaan suhu mencecah purata lima darjah melebihi paras normal di kawasan Phoenix, selain beberapa darjah melebihi tahap biasa merentasi padang pasir barat.

“Namun, terdapat kemungkinan musim panas ini akan menjadi lebih teruk pada minggu depan,” jelas NWS. 

Selain itu, NWS memaklumkan suhu pada minggu depan dijangka mencecah paras tertinggi iaitu dari 45 hingga 48 darjah celsius merentasi padang pasir.

“Terdapat lima hingga 10 peratus kebarangkalian merekodkan suhu sehingga 49 darjah celsius,” jelasnya. 

Dalam pada itu, NWS menggesa orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga terhadap `fenomena gelombang haba yang mengancam nyawa’.   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN