KUALA LUMPUR: Ketua Bersatu Selayang, Ahmad Nasir Mid menyifatkan tuduhan Lembaga Disiplin parti tidak masuk akal apabila mengaitkan sokongannya terhadap Datuk Seri Hamzah Zainuddin dengan desakan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan Presiden.
Ahmad Nasir berkata, pendirian beliau adalah jelas iaitu menghormati institusi Presiden Bersatu dibuat atas dasar parti, bukan kerana individu.
“Presiden merupakan wadah penting dalam sesebuah institusi. Malah tindakan saya juga dilindungi hak kebebasan.
“Saya membuat kenyataan untuk menolak Tan Sri Muhyiddin juga adalah secara individu, atas sebab kes mahkamahnya, bukan saya tolak parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan seramai 14 pemimpin Bersatu, termasuk Timbalan Presidennya, Hamzah akan dipanggil menghadap Lembaga Disiplin dipercayai berkaitan isu disiplin termasuk gerakan kononnya mahu menjatuhkan Muhyiddin.
Ahmad Nasir bagaimanapun berkata, beliau tidak hadir ke prosiding itu kerana mempunyai urusan tertentu.
“Saya juga sebelum ini sudah dipanggil dan saya bersedia untuk hadir, tetapi ditangguh. Kali ini saya yang benar-benar tidak dapat hadir,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Bersatu Bahagian Dungun, Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, beliau telah memaklumkan Lembaga Disiplin tidak dapat hadir sebaik sahaja menerima surat minggu lalu.
“Saya tidak boleh hadir esok (hari ini) dan saya telah maklumkan. Kalau kata saya hentam presiden, carilah bukti. Pada saya jika ingin kembali kepada penyatuan, bukanlah ini caranya.
“Tetapi jika sekali lagi dipanggil Lembaga Disiplin, saya akan hadir untuk beri penjelasan yang sebenar,” katanya.
Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Mohd Shafiq Abdul Halim pula berkata, beliau akan menggunakan ruang sewajarnya untuk menjawab segala tuduhan kononnya mahu menjatuhkan kepemimpinan Muhyiddin.
“Saya mahu menepis segala tohmahan terhadapnya berserta bukti dan hujah dikemukakan.
“Saya dinasihatkan untuk hadir memberi keterangan, dan saya memang sudah bersedia dari awal lagi untuk dipanggil kerana saya ingin menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku,” katanya.
Menerusi surat yang dikeluarkan Lembaga Disiplin, mereka yang dipanggil hendaklah hadir ke Ibu pejabat Bersatu pada pukul 12.30 tengah hari ini. – UTUSAN










