BANGKOK: Parti Move Forward (MFP) menyatakan pihaknya akan menyokong calon dari parti pakatan untuk merebut jawatan sebagai Perdana Menteri Thailand.
Keputusan itu dibuat selepas pemimpin MFP, Pita Limjaroenrat yang sebelum ini dicalonkan sebagai perdana menteri gagal meraih undian Parlimen.
Mahkamah Thailand juga menggantung keahlian Pita dalam Parlimen, sekali gus menyukarkan laluannya untuk bergelar perdana menteri negara ini.
“Pita mungkin tidak akan menjadi perdana menteri negara ini, namun apa yang penting, Thailand boleh menjadi sebuah negara demokratik.
“MFP akan menyokong calon dari Parti Pheu Thai untuk merebut jawatan tersebut,” kata Setiausaha Agung MFP, Chaitawat Tulathon.
Pheu Thai menjadi parti kedua paling banyak mendapat undian dalam pilihan raya umum yang lepas dan merupakan satu daripada lapan parti yang menyertai pakatan bersama MFP.
“MFP akan membenarkan calon dari Pheu Thai menjadi perdana menteri, sekali gus membentuk kerajaan Thailand yang baharu.
“Pada mesyuarat Parlimen akan datang, MFP akan undi calon dari Pheu Thai, sama seperti Pheu Thai sokong calon MFP sebelum ini,” kata Chaitawat.
Dalam pada itu, perdana menteri sementara, Prayut Chan-o-Cha meminta masyarakat supaya bertenang selepas Pita gagal dicalonkan sebagai Perdana Menteri Thailand yang baharu.
Kelmarin, beberapa protes berlangsung sebagai bantahan kepada keputusan mahkamah yang menyekat kemaraan Pita untuk bergelar perdana menteri.
Kebanyakan penyokong MFP menyifatkan keputusan itu tidak adil dan secara jelas menentang suara rakyat yang sudah memilih dalam pilihan raya lepas. – AFP










