BANYUMAS: Sekurang-kurangnya lapan pelombong emas terperangkap dalam lubang lombong di Desa pancurendang, Banyumas, Jawa tengah sejak Selasa lalu.
Menurut pihak berkuasa, kesemua pelombong itu terperangkap dalam lubang sedalam lebih 60 meter yang dipenuhi air.
Ketua Polis Banyumas, Edy Suranta Sitepu berkata, kesemua pelombong itu masuk ke dalam lubang berkenaan sejak Selasa lalu.
“Berdasarkan maklumat yang kami terima, mereka masuk ke dalam lubang lombong itu pada pukul 7 malam waktu tempatan sebelum melaporkan lubang itu mula dimasuki air pada pukul 9 malam,” katanya.
Jurucakap Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (Basarnas) Cilacap, Amin Riyanto berkata, lubang lombing itu terdiri daripada beberapa peringkat.
Katanya, pada peringkat pertama, pelombong perlu masuk ke dalam lubang sejauh 20 meter sebelum laluan berliku sepanjang 10 meter.
“Peringkat seterusnya, lubang itu menuju ke bawah sedalam 12 meter lagi dan laluan berliku bersambung sepanjang tiga meter.
“Kami menjangkakan kesemua pelombong itu terperangkap di peringkat keempat yang dianggarkan sedalam lebih 60 meter,” ujarnya.
Selain itu, paras air yang memenuhi luang itu dianggarkan mencecah 45 meter.
Menerusi operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan, pasukan kecemasan mengepam keluar sejumlah air daripada lubang berkenaan.
“Setakat ini, paras air baru berkurangan satu meter,” jelas Amin.
Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan keadaan kesemua pelombong berkenaan tidak dapat dipastikan.










