JAKARTA: Ketua kumpulan bersenjata di Papua, Egianus Kogoya menafikan meminta wang tebusan berjumlah 5 bilion rupiah (RM1.5 juta) untuk membebaskan juruterbang Susi Air yang diculik sejak Februari lalu.
Egianus berkata, isu kononnya pertubuhannya meminta wang tebusan untuk membebaskan Philip Mark Mehrtens tidak benar.
Tegasnya, pihaknya hanya mahukan kemerdekaan Papua selepas menjadikan juruterbang Susi Air itu sebagai tebusan.
“Jadi semua media di televisyen mahupun media sosial melaporkan isu Kodap III minta 5 billion rupiah (RM1.5 juta), itu semua hanya khabar angin. Dari mana pula saya minta wang itu.
“Saya tangkap juruterbang itu bukan untuk meminta wang. Saya hanya meminta kemerdekaan. Hanya seorang sahaja saya tahan,” katanya dalam satu kenyataan video yang diterima CNN Indonesia.
Dalam pada itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menegaskan, kerajaan tidak berdiam diri mengenai isu penculikan juruterbang warga New Zealand itu yang sudah lima bulan menjadi tebusan kumpulan bersenjata.
Jelas Jokowi, beliau mengadakan mesyuarat berhubung pembebasan Mehrtens kelmarin namun tidak boleh mendedahkan keputusan yang dibuat kepada umum.
“Jangan lihat kami hanya berdiam diri ya. Kami sudah berusaha keras, tetapi kami tidak dapat mendedahkan langkah-langkah yang kami lakukan,” katanya.
Dalam mesej video pada 27 Mei lalu, Mehrtens berkata, kumpulan bersenjata itu mengancam untuk menembaknya jika rundingan gagal dalam tempoh dua bulan.