JAKARTA: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menegaskan, kestabilan Indonesia memberi impak positif terhadap perkembangan keselamatan di rantau Indo-Pasifik.
Perkara itu disampaikan ketika sidang media bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang tiba di Sydney, Australia untuk rangka lawatan kerja kelmarin.
“Kemakmuran, keselamatan dan kestabilan Indonesia menjadikan wilayah Indo-Pasifik lebih makmur, selamat dan stabil,” katanya.
Justeru, beliau berharap hubungan Indonesia dan Australia akan bertambah baik dan lebih akrab sebagai rakan kongsi dalam pelbagai bidang di peringkat global.
“Hari ini, hubungan antara Indonesia dan Australia semakin baik. Malah kedua-dua negara bukan sahaja bertambah rapat sebagai rakan kongsi dalam bidang ekonomi dan keselamatan tetapi juga sentiasa berganding bahu bagi menuju peralihan global ke arah sifar bersih,” kata Albanese.
Sementara itu, Jokowi dalam kenyataannya memaklumkan amat menghargai sokongan Australia terhadap kepimpinan Indonesia di ASEAN dan turut menjemput negara itu untuk mengukuhkan perkongsian di Pasifik Selatan melalui kerjasama tiga hala selain mengambil bahagian dalam Forum ASEAN-Indo Pasifik.
Jelasnya, terdapat juga beberapa perkara keutamaan yang perlu dilakukan oleh kedua-dua negara dalam kadar segera untuk menjadikan hubungan ekonomi lebih substantif dan strategik.
“Perkara itu dapat direalisasikan pertamanya melalui pembangunan bersama pengeluaran bateri kenderaan elektrik.
“Kedua, sejak Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Australia (IA-CEPA) jumlah perdagangan meningkat kepada 90 peratus. Ini akan terus dioptimumkan melalui perjanjian bersama untuk produk perikanan, pemeriksaan buah-buahan selain pembinaan kapasiti bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Ketiga, kami akan terus membina kerjasama bagi penangkapan dan penyimpanan karbon termasuk peleburan berorientasikan tenaga hijau di Indonesia selain menggalakkan penyertaan kerajaan dan sektor swasta Australia dalam pembangunan ibu kota Nusantara,” katanya.-AGENSI










