Keluhan jemaah: Arab Saudi mohon maaf pada Indonesia

Keluhan jemaah: Arab Saudi mohon maaf pada Indonesia

ANTARA masalah yang menyukarkan para jemaah adalah saluran paip air yang tersumbat di tandas dan bilik mandi di Mina. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kementerian Agama Indonesia memaklumkan pihak berkuasa Arab Saudi sudah meminta maaf berhubung ketidakselesaan yang dialami oleh para jemaah haji negara ini ketika berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Menterinya, Yaqut Cholil Qoumas berkata, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Taufik F al-Rabiah memohon maaf dan berjanji akan memastikan perkara tersebut tidak akan berulang pada masa akan datang.

“Taufik maklumkan kepada saya, beliau memahami kesulitan yang dialami para jemaah negara kita dan sehubungan itu, beliau mewakili Arab Saudi memohon maaf untuk semua hal yang berlaku,” katanya seperti yang dilaporkan detik.com.

Yaqut dan Taufik sebelum itu mengadakan pertemuan sebanyak dua kali iaitu pada 30 Jun dan 2 Julai bagi berbincang mengenai masalah yang berlaku.

Terdahulu, para jemaah Indonesia mengadu mengenai beberapa masalah sehingga menyebabkan mereka sukar menunaikan ibadah haji dalam keadaan selesa dan lancar.

Sebagai contoh di Arafah, saluran paip air tersumbat di tandas dan bilik mandi menyukarkan para jemaah membersihkan diri.

Selain itu, para jemaah Indonesia juga lambat dibawa keluar dari Muzdalifah.

Sepatutnya mereka dibawa keluar dari kawasan itu pada pukul 8 pagi waktu tempatan, namun berlaku masalah pengangkutan menyebabkan kumpulan jemaah hanya boleh meninggalkan Muzdalifah pada waktu tengah hari.

Kelewatan itu menyebabkan semua aktiviti lain turut terjejas dan menyukarkan para jemaah.

Di Mina, jemaah Indonesia berasa tidak selesa kerana bekalan makanan sering dihantar lewat.

Dalam pada itu, Yaqut memberitahu, pihak berkuasa Arab Saudi akan menyiasat semua keluhan dan aduan yang dibuat para jemaah.

“Insya Allah, dalam masa satu atau dua minggu, kita akan tahu kenapa masalah seperti itu boleh berlaku di Arafah, MIna dan Muzdalifah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN