JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) didakwa berdepan tekanan hebat pihak luar berhubung dasar hiliran mineral negara itu.
Lapor CNN Indonesia, usaha kerajaan Indonesia menggalakkan galian hiliran dengan menghentikan eksport komoditi nikel mengakibatkan saman oleh Kesatuan Eropah (EU) di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Selain itu, Amerika Syarikat (AS) melalui undang-undang baharu Kadar Pengurangan Inflasi (IRA) juga dianggap mendiskriminasikan nikel dari Indonesia.
Calon presiden parti PDI-Perjuangan, Ganjar Pranowo berkata, langkah Jokowi menghentikan eksport komoditi nikel berhadapan dengan gaya penjajahan baharu melalui peraturan.
“Bahkan apa yang Jokowi lakukan hari ini untuk tidak mengeksport nikel, rintangannya benar-benar luar biasa,” kata Ganjar ketika bertemu sukarelawan di Senayan, Jakarta.
Ganjar menganggap segala tekanan yang ditujukan kepada Indonesia berhubung dasar nikel adalah cubaan pihak tertentu yang mahu menentukan dasar Indonesia.
Beliau turut mengecam usaha itu yang menyebabkan Indonesia terpaksa akur dengan keinginan pihak tersebut.
“Malah saya terbaca bahawa tindakan neokolonialisme menggunakan peraturan adalah mengatur segala-galanya mengikut kehendak mereka supaya kita mengikutnya. Pada pendapat saya, ‘go to hell’,” katanya.
Ganjar berkata, kekuatan dasar politik luar Indonesia adalah soal ketahanan dan pertahanan, malah beliau sudah membincangkan perkara tersebut dengan beberapa pakar termasuk mengenai dasar Jokowi berhubung eksport nikel.










