WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, semalam mengumumkan negara itu sudah memusnahkan semua senjata kimianya yang disimpan sejak berdekad lamanya sebagai komitmen di bawah Konvensyen Senjata Kimia.
“Hari ini saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa AS sudah memusnahkan segala senjata dalam simpanan, sekali gus membawa kita selangkah lebih dekat dengan dunia yang bebas daripada pengaruh senjata kimia,” katanya.
AS adalah negara terakhir menandatangani Konvensyen Senjata Kimia, bagi memusnahkan simpanan ‘yang diisytiharkan’, walaupun didakwa masih mengekalkan simpanan rahsia senjata kimia.
“Ini kali pertama badan antarabangsa mengesahkan kemusnahan keseluruhan satu kategori senjata yang diisytiharkan secara besar-besaran,” kata Biden dalam satu kenyataan.
Pengumuman itu dibuat selepas kemudahan tenteranya di Kentucky iaitu Depot Tentera Blue Grass, mengambil masa empat tahun bagi menghapuskan kumpulan terakhir dianggarkan lebih 500 tan ejen kimia maut yang dipegang oleh mereka.
AS sejak berdekad lalu menyimpan pelbagai jenis senjata kimia termasuk peluru artileri dan roket yang mengandungi gas mustard, agen saraf VX dan sarin serta agen lepuh (blister agents).
Pemilikan senjata seumpama itu dikutuk secara meluas kerana penggunaannya memberikan tindak balas mengerikan seperti yang berlaku ketika Perang Dunia l.
Bagaimanapun, kebanyakan negara masih mengekalkan penggunaannya pada tahun selepas itu.
Konvensyen Senjata Kimia, yang dipersetujui pada 1993 serta dikuatkuasakan empat tahun selepas itu, memberi tempoh masa kepada AS sehingga 30 September tahun ini untuk memusnahkan semua simpanan senjata kimianya.
Menurut Persatuan Kawalan Senjata AS, pada 1990 AS memegang hampir 28,600 tan senjata kimia, iaitu penyimpanan kedua terbesar di dunia selepas Russia, namun negara itu selesai memusnahkan simpanannya yang diisytiharkan pada 2017.
Menjelang April 2022, AS mempunyai kurang daripada 600 tan metrik dalam simpanannya untuk dimusnahkan.
Biden menggesa kewaspadaan secara berterusan bagi memastikan semua senjata kimia di seluruh dunia dimusnahkan sambil menambah segelintir negara yang tidak menyertai konvensyen itu juga harus berbuat demikian.
“Russia dan Syria harus kembali mematuhi Konvensyen Senjata Kimia dan mengakui bahawa ada simpanan mereka tidak diisytiharkan serta digunakan untuk melakukan kekejaman dan serangan yang melampau,” katanya. – AFP