WELLINGTON: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan enam lagi cedera dalam satu kejadian tembakan rambang di Auckland, New Zealand.
Insiden itu berlaku beberapa jam sebelum perlawanan pembukaan Piala Dunia Wanita FIFA berlangsung di bandar tersebut.
Polis mengesahkan suspek yang melepaskan tembakan itu maut dalam kejadian itu.
Menurut Pesuruhjaya polis, Andrew Coster, identiti lelaki bersenjata itu masih belum dikenal pasti secara rasmi.
Namun, katanya, suspek dipercayai berusia 24 tahun yang pernah bekerja di sebuah tapak pembinaan yang merupakan lokasi kejadian tembakan berlaku.
“Suspek dilengkapi senapang patah didapati bergerak dalam bangunan yang dalam pembinaan.
“Selepas tiba di tingkat atas, suspek menyorok dalam lif dan melepaskan beberapa tembakan sebelum dia ditemukan mati,” jelasnya.
Katanya, seorang pegawai polis dan empat orang awam cedera dalam kejadian tembakan itu.
Dilaporkan, pasukan bola sepak dari New Zealand, Norway, Itali, Amerika Syarikat (AS), Vietnam dan Portugal berada di bandar itu ketika tembakan itu berlaku.
Sementara itu, Perdana Menteri New Zealand, Chris Hipkins berkata, perlawanan bola sepak itu akan diteruskan sepertimana dijadualkan.
Beliau menyifatkan tembakan itu hanya dilakukan oleh seorang suspek dan polis tidak mengaitkan dengan mana-mana individu lain berhubung kejadian itu.
“Kes ini tidak bermotifkan politik mahupun ideologi tertentu, justeru tiada ancaman terhadap keselamatan negara,” katanya dalam taklimat media disiarkan di televisyen. – REUTERS










