Wagner tiada niat gulingkan kerajaan Putin - Utusan Malaysia

Wagner tiada niat gulingkan kerajaan Putin

VLADIMIR Putin menyampaikan ucapan kepada rakyat Russia di Moscow. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Presiden Vladimir Putin menuduh Ukraine dan sekutu Baratnya mahukan tentera Russia saling `membunuh sesama sendiri’ semasa pemberontakan kumpulan tentera Wagner.

Pemberontakan bersenjata diketuai ketua pasukan tentera upahan itu, Yevgeny Prigozhin dikatakan ‘mencabar’ pemerintahan pemimpin tertinggi itu selama lebih dua dekad.

“Pembunuhan persaudaraan inilah yang dimahukan oleh musuh Russia iaitu kedua-dua neo-Nazi di Kyiv dan sekutu Barat mereka, dan semua jenis pengkhianat negara.

“Mereka mahu tentera Russia saling membunuh antara satu sama lain,” katanya dalam ucapan disiarkan di televisyen.

Menerusi ucapan pertama sejak kumpulan Wagner berundur, Putin memberi penghormatan kepada para juruterbang yang terkorban dalam melawan pemberontakan yang dibatalkan.

Kenyataan pemimpin tertinggi itu mengesahkan laporan tular di media sosial bahawa kumpulan tentera Wagner berjaya menembak jatuh pesawat Russia dalam pertempuran itu.

“Keberanian dan pengorbanan diri para wira yang terkorban menyelamatkan Russia daripada impak yang memusnahkan,” katanya.

Setakat ini, tiada maklumat rasmi mengenai jumlah juruterbang yang terkorban atau pesawat yang ditembak jatuh.

Baru-baru ini, kumpulan Wagner membatalkan hasrat untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Putin bagi mengelakkan pertumpahan darah.

Prigozhin bersama tenteranya berundur dari ibu pejabat tentera di bandar selatan Rostov-on-Don selepas menerima cadangan diutarakan oleh Presiden Belarus, Alexander Lukashenko.

Di bawah perjanjian diuruskan oleh Lukashenko, kes jenayah yang dikenakan terhadap Prigozhin kerana melakukan pemberontakan bersenjata akan digugurkan.

Dalam pada itu, Prigozhin memaklumkan beliau tidak mempunyai niat untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Putin, sebaliknya ingin ‘menyelamatkan’ pasukan tenteranya daripada ketenteraan Russia yang didakwa semakin ‘tersasar’.

“Kami hanya lakukan protes menentang cara ketenteraan Russia yang tidak masuk akal, selain sering menyerang tentera Wagner.

“ Kami tiada niat untuk menumbangkan kerajaan Putin,” ujar Prigozhin. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN