SINGAPURA: Premis perniagaan dan pembekal di Singapura kini sibuk membuat persiapan berikutan peningkatan permintaan terhadap pelitup muka dan pembersih udara bagi menghadapi ancaman jerebu di negara itu.
Lapor Channel New Asia, perniagaan di negara itu sedang bersiap sedia dengan bekalan yang mencukupi selepas pihak berkuasa menasihatkan orang ramai untuk melindungi diri daripada habuk dan zarah asap ketika wilayah itu memasuki musim kemarau.
Pembekal pelitup muka mengakui meningkatkan tempahan pembuatan sebanyak 30 peratus bagi memenuhi lonjakan permintaan untuk topeng jenis N95, sementara lebih ramai keluarga juga mencari cara untuk meningkatkan kualiti udara di dalam rumah.
“Kami sudah mengaktifkan tapak pembuatan untuk menghantar pelitup muka dengan lebih cepat.
“Pada masa yang sama, kami juga memastikan kedai runcit kami menyediakan lebih banyak ruang untuk menyimpan dan mempamerkan stok bagi memastikan ia jelas kelihatan dan tersedia secara meluas kepada pengguna,” kata Pengarah Urusan Pharmex Healthcare, Victor Yap.
Selepas gelombang haba melanda sebahagian besar benua Asia April lalu, suhu meningkat semula di Singapura lewat bulan lalu, yang biasanya merupakan permulaan musim tengkujuh yang lebih sejuk.
Suhu permukaan laut di timur Lautan Hindi juga dijangka menjadi sejuk, mengakibatkan pembentukan awan yang kurang dan hujan di bawah purata di kawasan sekitarnya, termasuk Sumatera, Semenanjung Malaysia dan Singapura.
Keadaan itu dijangka bertambah buruk apabila saintis menjangkakan keadaan El Nino akan kembali tahun ini, membawa bersama dan suhu lebih panas, sekaligus meningkatkan risiko kebakaran hutan dan masalah jerebu yang lebih buruk.
Pengurus kanan kejuruteraan Dyson, Eddy Teo berkata, trend menunjukkan bahawa semasa tempoh jerebu, orang ramai bukan sahaja menggunakan penapis udara mereka dengan lebih kerap, tetapi juga berusaha mendapatkan lebih banyak maklumat tentang kualiti udara di rumah mereka.
“Dari segi tahap pencemaran udara di dalam rumah di Singapura, kami melihat bahawa purata parasnya semasa tempoh puncak adalah tiga kali lebih tinggi berbanding garis panduan yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.
Menurut Perkhidmatan Meteorologi Singapura, musim kemarau tahun ini dijangka berpanjangan berbanding tahun-tahun sebelumnya dan kemungkinan berlarutan sehingga bulan Oktober.
Jelas badan itu, pasukan petugas jerebu antara agensi kerajaan sudah menyelaraskan pelan tindakan sebagai persediaan menghadapi pencemaran udara bermusim sejak bulan lalu.