LONDON: Fosil sejenis dinosaur yang tidak diketahui sebelum ini ditemui di Isle of Wight.
Lapor BBC, ia adalah spesies baharu pertama dinosaur berduri yang ditemui di pulau itu sejak 1865 dan dipercayai tergolong dalam keluarga ankylosaur.
Walaupun kelihatan menakutkan dengan badan yang seakan mempunyai ‘perisai’ seperti bilah, reptilia gergasi yang dinamakan Vectipelta barretti itu hanya memakan tumbuhan.
Ia ditemui di dalam batu yang dipercayai berusia sekitar 66 hingga 145 juta tahun.
Nama Vectipelta barretti diberi sempena nama Profesor Paul Barrett, yang bekerja di Muzium Sejarah Alam di London selama 20 tahun.
Walaupun dinosaur baharu itu mempunyai beberapa persamaan dengan ankylosaur terakhir ditemui di pulau itu yang dipanggil Polacanthus foxii, para saintis merasa kedua-dua spesies itu tidak mempunyai kaitan rapat.
Saintis berkata, selain mempunyai tulang leher, belakang dan pelvis yang berbeza, penemuan baru-baru ini turut mempunyai lebih banyak perisai berduri.
Spesies baharu itu mempunyai lebih banyak persamaan dengan ankylosaur yang ditemui di China, mencadangkan mereka bergerak bebas dari Asia ke Eropah pada zaman Cretaceous Awal.