Russia disenarai ‘negara memalukan’ PBB, Israel dikecualikan

Russia disenarai ‘negara memalukan’ PBB, Israel dikecualikan

KANAK-KANAK Palestin memegang papan sepanduk tertera wajah kanak-kanak yang maut dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza pada Ogos tahun lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meletakkan ketenteraan Russia dan sekutu kumpulan bersenjata dalam senarai ‘memalukan’ susulan melancarkan perang di Ukraine hingga mengakibatkan banyak nyawa terkorban, terutamanya wanita dan kanak-kanak.

Namun, Israel tidak termasuk dalam senarai itu biarpun sudah terang lagi bersuluh rejim Zionis menyebabkan kematian lebih 40 kanak-kanak Palestin pada tahun lalu.

Berdasarkan beberapa laporan, sejumlah organisasi hak asasi manusia berulang kali meminta PBB dimasukkan dalam senarai hitam PBB berhubung menyerang dan membunuh kanak-kanak Palestin di Tebing Barat.

Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour kelmarin menyifatkan keputusan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres tidak memasukkan Israel dalam senarai negara memalukan itu sebagai satu kesalahan besar.

Dalam laporan tahunan PBB mengenai layanan terhadap kanak-kanak di zon konflik, Guterres menyatakan beliau terkejut dengan jumlah pencabulan hak asasi manusia terhadap kanak-kanak di Ukraine pada tahun lalu.

Laporan itu menyebut seramai 477 kanak-kanak dilaporkan terbunuh di Ukraine pada tahun lalu, termasuk 136 kematian yang diakibatkan oleh pasukan tentera Russia dan kumpulan bersenjata yang menyokongnya.

Pasukan tentera Ukraine pula bertanggungjawab menyebabkan kematian 80 kanak-kanak di negara itu sejak Russia melancarkan perang pada Februari 2022.

Guterres menerusi laporan itu juga menyatakan yang beliau hanya ‘bimbang’ dengan jumlah kanak-kanak Palestin dibunuh oleh tentera Zionis pada tahun lalu.

Berdasarkan data yang dikumpul, seramai 42 kanak-kanak Palestin dibunuh dan 933 cedera pada tahun lalu oleh tentera Israel dan pada 2021, rejim Zionis membunuh 78 kanak-kanak Palestin.

Biarpun begitu, sehingga kini Israel tidak pernah dimasukkan dalam senarai negara memalukan PBB.

Sementara itu, Human Rights Watch menyambut baik keputusan PBB mengenai Russia, namun mengkritik keputusan badan itu yang tidak memasukkan Israel dalam senarai sama.

Badan hak asasi manusia itu menyifatkan PBB sekali lagi gagal melindungi hak dan keselamatan kanak-kanak Palestin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN