Pil Osimertinib kurangkan separuh risiko kematian pesakit kanser paru-paru

Pil Osimertinib kurangkan separuh risiko kematian pesakit kanser paru-paru

OSIMERTINIB perlu diambil sebiji setiap hari selepas pembedahan membuang tumor dalam paru-paru. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pengambilan sebiji pil Osimertinib setiap hari selepas pembedahan membuang tumor boleh mengurangkan separuh risiko kematian akibat kanser paru-paru.

Kesimpulan itu dibuat berdasarkan keputusan ujian klinikal yang didedahkan dalam persidangan pakar kanser tahunan terbesar yang dianjurkan oleh American Society for Clinical Oncology (ASCO) di Chicago kelmarin.

Kanser paru-paru merupakan satu daripada penyakit yang menyebabkan paling banyak kematian dengan anggaran 1.8 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia.

Pil yang dibangunkan oleh kumpulan farmaseutikal AstraZeneca itu dinamakan osimertinib dan dijual dalam pasaran dengan nama Tagrisso.

Ubatan itu menyasarkan beberapa jenis kanser paru-paru, terutamanya yang paling biasa dihidapi pesakit.

Ujian klinikal yang dilakukan melibatkan 680 pesakit yang berada pada tahap awal kanser paru-paru di lebih 20 negara.

Kesemua pesakit itu menjalani pembedahan membuang tumor dan separuh daripada mereka mengambil pil berkenaan setiap hari, manakala setengah lagi pesakit mengambil pil placebo.

Keputusan menunjukkan 51 peratus risiko kematian dapat dikurangkan dalam kalangan pesakit yang mengambil pil berkenaan berbanding pil placebo.

Kajian itu juga menunjukkan selepas lima tahun, 88 peratus pesakit yang mengambil pil itu secara berterusan masih hidup berbanding 78 peratus pesakit yang mengambil placebo.

Dalam pada itu, Osimertinib sudah pun diedarkan di beberapa negara dan sudah diberikan kepada 700,000 pesakit.

Namun, tidak semua pakar perubatan bersetuju dengan pengambilan pil berkenaan dan mereka mahu menunggu lebih banyak data lanjut berhubung penggunaannya.

Sementara itu, pil tersebut juga boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan seperti kelesuan teruk, ruam dan cirit-birit. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya