MADRID: Pengasas bersama syarikat yang memiliki kapal selam Titan, mempertahankan komitmen dan kredibiliti Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stockton Rush dalam isu keselamatan dan pengurusan risiko selepas beliau diisytiharkan meninggal dunia bersama empat penumpang lain di dalam kapal itu Jumaat lalu.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif OceanGate, Guillermo Sohnlein yang mengasaskan syarikat itu bersama Rush pada tahun 2009, meninggalkan syarikat itu pada 2013 namun mengekalkan pegangan minoritinya.
Rush dilaporkan bertanggungjawab memandu kapal selam Titan dalam ekspedisi melihat bangkai Titanic Ahad lalu bersama empat penumpang lain namun kesemua mereka diisytiharkan meninggal dunia selepas pasukan penyelamat menemukan serpihan kapal selam itu.
“Rush adalah salah seorang pengurus risiko paling bijak yang pernah saya temui. Dia sangat enggan mengambil risiko. Dia sangat menyedari risiko beroperasi di persekitaran lautan dalam, dan dia sangat komited terhadap keselamatan.
“Saya percaya setiap inovasi yang diambilnya menjurus kepada dua matlamat, iaitu mengembangkan keupayaan manusia untuk meneroka lautan dalam dan kedua, untuk melakukannya dalam keadaan yang paling selamat” kata Sohnlein dalam temu bual video dari rumahnya di Barcelona.
Sohnlein berkata, orang ramai tidak seharusnya membuat sebarang spekulasi mengenai punca bencana tersebut sebaliknya menunggu hasil laporan rasmi selepas data dikumpulkan dan dianalisis.
“Akan ada masa untuk membuat penilaian dan saya tidak fikir sekarang adalah masa yang sesuai untuk berdebat mengenainya,” katanya.
Persoalan tentang keselamatan Titan dibangkitkan pada 2018 semasa simposium pakar industri laut dalam serta tuntutan mahkamah oleh bekas ketua operasi marin OceanGate yang diselesaikan pada tahun sama.
Pakar undang-undang berkata, pengecualian liabiliti yang ditandatangani oleh semua penumpang kapal selam berkenaan mungkin tidak melindungi pemilik kapal daripada kemungkinan disaman oleh keluarga mangsa.
Seorang wartawan CBS yang menyertai OceanGate Expeditions pada Julai 2022 melaporkan bahawa pengecualian yang ditandatanganinya menyebut kemungkinan kematian sebanyak tiga kali pada halaman pertama.
Peguam kecederaan peribadi, Joseph Low dari California berkata, tahap kecuaian yang mungkin memberi kesan kepada kebolehgunaan pengecualian liabiliti itu bergantung kepada punca bencana yang masih dalam siasatan.
“Terdapat begitu banyak contoh berbeza tentang tuntutan apa yang boleh dibuat keluarga mangsa tetapi sehingga kami mengetahui puncanya, kami tidak dapat menentukan sama ada pengecualian itu terpakai,” jelasnya.
Media melaporkan keluarga mangsa masih tidak dapat dihubungi sejak Khamis lalu dan terdapat andaian kemungkinan tiada seorang pun waris yang akan membuat tuntutan saman ke atas OceanGate.-REUTERS










