NATO kerah 700 tentera tambahan ke Kosovo

NATO kerah 700 tentera tambahan ke Kosovo

TENTERA NATO dan pasukan polis tentera antarabangsa berkawal di kawasan berhampiran Zvecan, utara Kosovo. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZVECAN: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan mengerahkan kira-kira 700 anggota tentera tambahan ke utara Kosovo.

Keputusan itu dibuat selepas 30 anggota pengaman ditempatkan di bawah misi diketuai NATO di Kosovo, cedera dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan etnik Serbia di tengah-tengah pergolakan yang semakin memuncak.

Lapor Al Jazeera, Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg mengesahkan pihaknya akan menghantar tentera tambahan daripada pasukan simpanan operasi Balkan Barat.

Menurut beliau, NATO juga akan mengarahkan sebuah lagi batalion tambahan daripada pasukan simpanan bersiap siaga supaya boleh dikerahkan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.       

Dilaporkan, sebuah batalion biasanya terdiri daripada 300 hingga 1,000 anggota tentera.

Misi pasukan pengaman diketuai NATO di Kosovo atau KFOR ketika ini mempunyai hampir 3,800 anggota tentera.

Dalam pada itu, Komander Komando Pasukan Tentera Bersekutu di Naples, Stuart Munsch menyifatkan tindakan itu sebagai langkah sewajarnya bagi memastikan KFOR mempunyai keupayaan diperlukan untuk mengekalkan keselamatan.      

Terdahulu, KFOR memaklumkan 30 anggota pengaman dari Hungary dan Itali mengalami pelbagai kecederaan termasuk patah tulang dan melecur akibat terkena bahan letupan buatan sendiri.

Konflik di Kosovo meletus pada 1998 apabila kumpulan etnik Albania menentang pemerintahan Serbia sehingga puak Serbia membalas dengan tindakan keras yang kejam.

Kira-kira 13,000 orang yang kebanyakannya merupakan etnik Albania terbunuh.

Campur tangan tentera NATO pada tahun 1999 akhirnya memaksa Serbia menarik diri dari wilayah itu dan membuka jalan bagi penubuhan misi pengaman KFOR.

Serbia enggan mengiktiraf pengisytiharan kemerdekaan Kosovo 2008.

Etnik Albania membentuk sebahagian besar populasi namun Kosovo mempunyai minoriti Serb di utara negara yang bersempadan dengan Serbia.

Ketegangan terbaharu memuncak pada hujung minggu lalu selepas penunjuk perasaan menuntut penyingkiran Datuk Bandar daripada etnik Albania yang baru dipilih.

Apabila penunjuk perasaan Serbia cuba menghalang mereka daripada memasuki bangunan kerajaan, polis Kosovo melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan tersebut.

Penunjuk perasaan Serbia sekali lagi mengadakan protes pada Isnin lalu dengan menuntut Datuk Bandar dan polis meninggalkan utara Kosovo.  

Sementara itu, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borell menggesa pemimpin Kosovo dan Serbia segera mengadakan rundingan untuk meredakan ketegangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya