Masih ramai rakyat Jepun tolak digitalisasi, selesa 'cara lama'

Masih ramai rakyat Jepun tolak digitalisasi, selesa ‘cara lama’

JEPUN mungkin gah dengan kecanggihan teknologi dan digitalisasi, namun tidak semua rakyatnya menerima kemudahan tersebut. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Ketika dunia berlumba-lumba mengejar arus digitalisasi, Jepun yang mungkin dianggap berada di depan sebenarnya jauh di takuk lama.

Malah sektor awam masih menggunakan disket untuk menyimpan data dengan majoriti populasi menua negara itu enggan bertukar kepada pembayaran tanpa tunai.

Jepun, yang sering dianggap sebagai masyarakat futuristik kerana karya klasik seperti Blade Runner dan Akira, terus menjadi peneraju dunia dalam bidang teknologi tinggi seperti robotik.

Namun ekonomi negara itu dilaporkan masih terperangkap di masa lalu dan bergelut untuk bertukar kepada platform digital walaupun membawa imej futuristik itu di mata dunia.

MASIH GUNA DISKET

Banyak perkhidmatan kerajaan Jepun masih tidak boleh diakses dalam talian dan bergantung pada borang kertas atau lawatan ke pejabat kerajaan tempatan.

Mesin faks sering digunakan di tempat kerja dan bukannya emel, manakala cop dakwat yang dikenali sebagai ‘hanko’ diutamakan berbanding tanda tangan digital.

Agensi Digital Jepun yang bertanggungjawab mengetuai transformasi digital negara itu menganggarkan lebih 1,900 prosedur antara kerajaan bergantung pada teknologi storan lama seperti CD, cakera mini dan cakera liut atau disket.

Pembayaran tanpa tunai di Jepun meningkat lebih dua kali ganda sepanjang dekad yang lalu dan dilaporkan mencecah 36 peratus pada 2022.

Namun, menurut Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, perkadaran itu jauh ketinggalan di belakang rakan serantau seperti Korea Selatan dan Singapura, di mana kebanyakan urus niaga dijalankan tanpa tunai.

Semasa pandemik Covid-19, seorang pegawai tempatan di Wilayah Yamaguchi menjadi perhatian media selepas menghantar cakera liut mengandungi maklumat rakyat kepada bank tempatan untuk mengagihkan pembayaran bantuan.

Tindakan itu mengakibatkan percampuran data yang menyaksikan seorang penduduk menerima jumlah wang yang salah mencecah 46.3 juta yen (RM1.4 juta).

Dalam Kedudukan Daya Saing Digital Dunia terkini yang diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), Jepun menduduki tempat ke-29 daripada 63 ekonomi, di belakang Singapura, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan dan China.

BERGANTUNG SISTEM ANALOG

Ketua Polisi Ekonomi Firma Perkhidmatan Teknologi Informasi Fujitsu, Martin Schulz yang turut bertindak sebagai penasihat kerajaan berkata, kebergantungan Jepun kepada sistem lama itu sebahagiannya disebabkan kejayaannya mencapai kecekapan bertaraf dunia menggunakan teknologi analog.

“Apabila sistem kereta api anda sudah berfungsi sangat pantas, menggantikannya dengan sistem digital baharu tetapi perlu menanggung kos pemindahan yang sangat besar tanpa keuntungan tambahan pasti membuat anda berfikir dua kali,” jelas Schulz kepada portal Al Jazeera.

Kerajaan Jepun sudah lama mengiktiraf keperluan untuk menangani status ketinggalan digital negara itu, yang menjejaskan usaha meningkatkan produktiviti dan memulihkan kembali ekonominya selepas pecahan aset besar pada awal 1990-an.

Dalam laporan 2018, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri memberi amaran bahawa Jepun berdepan ‘tebing digital’ disebabkan kegagalan perniagaan menerima pakai sistem digital, menyebabkan firma bakal menanggung kerugian sehingga 12 trilion yen (RM396.4 bilion) setiap tahun selepas 2025.

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berikrar untuk mempercepatkan peralihan digital negara itu dengan membelanjakan 5.7 trilion yen (RM188 bilion) untuk menambah baik infrastruktur di kawasan serantau.

Namun usaha itu berdepan cabaran besar berikutan kekurangan tenaga kerja akibat penduduk yang semakin tua dan kedegilan mereka untuk berubah.

Selepas berdekad-dekad kadar kelahiran rendah, kerajaan menjangkakan kekurangan 450,000 pekerja dalam teknologi maklumat dan komunikasi menjelang 2030.

Akhbar Yomiuri Shimbun melaporkan, banyak jabatan kerajaan termasuk Kementerian Kehakiman dan kerajaan tempatan turut membantah rancangan menggunakan sistem pentadbiran berasaskan cloud menjelang 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya