NEW YORK: Bukti menunjukkan kemusnahan besar empangan Kakhovka di Ukraine berlaku akibat daripada letupan dalaman yang dicetuskan oleh Russia, lapor akhbar The New York Times.
Memetik jurutera dan pakar bahan letupan, akhbar itu melaporkan, siasatan terbaharu menemukan bukti yang mencadangkan bahan cas di laluan pangkalan konkrit empangan itu meletup, memusnahkan struktur pada 6 Jun lalu.
“Bukti jelas menunjukkan empangan itu lumpuh akibat letupan yang dicetuskan oleh pihak yang mengawalnya iaitu Russia,” kata akhbar itu.
Secara berasingan, sepasukan pakar undang-undang antarabangsa yang membantu pendakwa raya Ukraine dalam siasatan mereka berkata, dalam penemuan awal Jumaat lalu, kemungkinan besar runtuhan di wilayah Kherson Ukraine disebabkan oleh bahan letupan yang ditanam oleh Russia.
Kremlin menuduh Kyiv mensabotaj empangan hidroelektrik yang menampung takungan sebesar Tasik Great Salt di Amerika Syarikat (AS) untuk memotong sumber utama air di Crimea dan mengalih perhatian daripada serangan balas lemah terhadap tentera Russia.
Ukraine menuduh Russia meletupkan empangan era Soviet di bawah kawalan Kremlin sejak awal pencerobohannya pada tahun 2022 yang melepaskan air banjir merentasi kawasan pertempuran dan memusnahkan tanah ladang selain memotong bekalan air kepada orang awam.
The New York Times memetik jurutera berkata, hanya pemeriksaan penuh empangan selepas air mengalir mampu menentukan urutan kejadian yang membawa kepada kemusnahan itu.
“Hakisan daripada air yang mengalir melalui pintu pagar boleh menyebabkan kegagalan jika empangan itu direka dengan buruk atau konkritnya tidak berkualiti, tetapi jurutera menganggap perkara itu tidak mungkin berlaku,” kata akhbar itu.-REUTERS