NEW YORK: Fenomena cuaca El Nino dilaporkan sudah bermula di Lautan Pasifik dan berkemungkinan akan meningkatkan lagi suhu bumi yang semakin panas akibat perubahan iklim.
Saintis Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat (AS) mengesahkan bahawa El Nino sudah bermula dan mungkin akan menjadikan tahun 2024 paling panas di dunia.
“Bergantung pada kekuatannya, El Nino boleh menyebabkan pelbagai kesan, seperti meningkatkan risiko hujan lebat dan kemarau di lokasi tertentu di seluruh dunia.
“Perubahan iklim boleh memburukkan atau mengurangkan kesan tertentu berkaitan El Nino. Sebagai contoh, El Nino boleh membawa kepada rekod baharu bagi suhu, terutamanya di kawasan yang sudah mengalami suhu melebihi purata semasa,” kata saintis iklim NOAA, Michelle L’Heureux.
Pakar kini bimbang kemunculan awal fenomena itu akan membantu mendorong dunia melepasi peristiwa penting peningkatan pemanasan kepada 1.5 darjah Celsius.
Fenomena berkenaan akan turut menjejaskan cuaca dunia, berpotensi membawa kemarau ke Australia, cuaca kering di Asia serta melemahkan monsun India.
Negeri-negeri di selatan AS pula mungkin akan menjadi lebih lembap pada musim sejuk yang akan datang selain mengeruhkan keadaan kemarau di Afrika.
“Terdapat tanda-tanda dalam ramalan kami selama beberapa bulan, tetapi ia benar-benar kelihatan seperti akan memuncak pada akhir tahun ini dari segi intensitinya.
“Rekod baharu untuk suhu global tahun depan sudah pasti boleh diterima akal. El Nino besar pada penghujung tahun ini memberi peluang tinggi bahawa kita akan mempunyai rekod baharu, suhu global pada tahun 2024,” jelas Ketua Ramalan Jarak Jauh Jabatan Meteorologi United Kingdom (UK), Adam Scaife.
Menurut Scaife, fenomena semula jadi tersebut bakal mencetus perubahan paling tinggi dalam sistem iklim di mana-mana lokasi di bumi.
Fasa panas ini berlaku setiap dua hingga tujuh tahun yang menyaksikan air suam muncul ke permukaan di luar pantai Amerika Selatan dan merebak ke seluruh lautan menolak sejumlah besar haba ke atmosfera.
Para penyelidik percaya terdapat 84 peratus peluang El Nino akan berkembang melebihi kekuatan sederhana menjelang akhir tahun ini.
Terdapat satu daripada empat peluang suhu purata mencecah melebihi 2 darjah Celcius ketika fenomena itu memasuki fasa kemuncaknya.
Pakar turut meramalkan El Nino kali ini akan turut memberi tekanan kos ekonomi yang besar seperti yang berlaku tahun pada 1997 dan 1998 menelan belanja lebih AS$5 trilion (RM23.06 trilion) dengan kira-kira 23,000 kematian akibat ribut dan banjir.-AGENSI