LONDON: Beberapa pegawai menyuarakan kebimbangan kira-kira 200,000 lagi janji temu dan pembedahan mungkin dibatalkan disebabkan doktor muda melancarkan mogok selama 72 jam di Britain.
Para pesakit bakal berdepan gangguan besar ketika mogok yang disertai ribuan pegawai perubatan itu bermula pada pukul 7 pagi (waktu tempatan) semalam dan dijadual berlangsung hingga Sabtu ini.
Tindakan tegas dilakukan oleh Persatuan Perubatan British (BMA) yang berlangsung selama empat hari pada April lalu, menyaksikan hampir 200,000 prosedur dihentikan.
Lapor Daily Mail, Pengarah Perubatan Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) England, Stephen Powis percaya negara akan menyaksikan tahap gangguan yang sama pada kali ini.
Katanya, situasi huru-hara yang bakal melanda NHS mungkin `diburukkan lagi’ dengan gelombang haba yang berkemungkinan mengakibatkan lonjakan dalam kes kecemasan.
“Meskipun ribuan janji temu doktor mungkin dijadualkan semula disebabkan mogok itu, NHS masih akan terus mengutamakan kes kecemasan dan rawatan segera.
“Malah, orang ramai masih boleh memainkan peranan dengan menjaga kesihatan masing-masing ketika negara dilanda gelombang panas.
“Bagi warga emas dan golongan mudah terdedah, mereka dinasihatkan untuk minum air yang banyak, pakai krim pelindung matahari dan elak berada di bawah cuaca panas untuk tempoh yang lama,” katanya.
Mogok terbaharu itu dilaporkan ‘menyerang’ agensi dibiayai kerajaan, NHS.
Doktor muda melancarkan mogok bagi menuntut kenaikan gaji sebanyak 35 peratus.
Dalam pada itu, Ketua Eksekutif NHS England, Amanda Pritchard menyifatkan mogok dilancarkan oleh doktor muda itu sebagai `kejadian kesinambungan perniagaan yang serius’ dan dikhuatiri boleh menyebabkan risiko kepada keselamatan pesakit.
Beliau dalam persidangan NHS Confed Expo di Manchester menegaskan puluhan ribu janji temu mungkin perlu dijadualkan semula.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Steve Barclay menyifatkan tindakan mogok itu `amat mengecewakan’ kerana ia mengundang risiko kepada para pesakit.
Katanya, tindakan itu juga menjejaskan usaha bagi mengurangkan senarai menunggu pesakit.










