HAVANA: Cuba menafikan laporan berita media Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa kerajaan negara itu mencapai perjanjian dengan China untuk menubuhkan pangkalan pengintipan tidak jauh dari pantai AS.
Timbalan Menteri Luar Cuba, Carlos Fernandez de Cossio berkata, laporan yang disiarkan oleh The Wall Street Journal dan CNN itu adalah fitnah dan tidak berasas.
Laporan itu mendakwa, Beijing dan Havana memeterai perjanjian rahsia bagi menubuhkan kemudahan elektronik China di pulau Caribbean itu yang boleh memantau komunikasi di seluruh tenggara AS.
Wilayah yang terlibat termasuk ibu pejabat Pusat Komando Selatan dan Tengah AS, kedua-duanya di Florida.
Menurut laporan yang memetik pegawai AS yang tidak dinamakan, China didakwa akan membayar Cuba beberapa bilion dolar bagi melaksanakan rancangan pengintipan itu.
De Cossio ketika membacakan kenyataan kepada wartawan menggelar laporan itu berniat jahat dan menegaskan Cuba menolak semua kehadiran tentera asing di Amerika Latin, termasuk banyak pangkalan tentera AS.
Malah jurucakap White House, John Kirby turut menyifatkan dakwaan tersebut tidak tepat.
“Saya sudah melihat laporan akhbar itu. Ia tidak tepat
“Apa yang saya boleh katakan kami prihatin sejak hari pertama kisah mengenai aktiviti pengaruh China di seluruh dunia dibangkitkan, pastinya di hemisfera ini dan di rantau ini. Kami sentiasa memerhati perkara ini dengan teliti,” tambahnya.
Jurucakap Pentagon, Pat Ryder turut senada dengan Kirby berhubung laporan itu.
“Kami tidak mengesan apa-apa melibatkan China dan Cuba membangunkan sebarang jenis stesen pengintipan. Hubungan yang dikongsi kedua-dua negara itu adalah sesuatu yang kami pantau secara berterusan,” katanya.
Laporan oleh Wall Street Journal itu muncul di tengah-tengah ketegangan antara Washington dan Beijing berikutan pelbagai isu termasuk sokongan AS terhadap Taiwan.
Presiden China, Xi Jinping turut dilihat meningkatkan kehadiran keselamatan negara itu di seluruh dunia, bertujuan untuk menyamai perluasan tentera AS di semua benua.-AFP