WASHINGTON: Penganjur Anugerah Grammy, Recording Academy menetapkan peraturan baharu bahawa sebarang penghasilan lagu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak layak meraih anugerah berprestij itu.
Peraturan baharu itu diperkenalkan ketika badan menyampaikan anugerah muzik paling terkenal dunia, berusaha mengekang penggunaan teknologi AI dalam industri hiburan.
Peraturan akademi yang dikemas kini itu melarang lagu yang dihasilkan sepenuhnya menggunakan teknologi AI.
Bagaimanapun, berdasarkan peraturan itu, beberapa lagu dihasilkan artis dengan bantuan AI mungkin layak disenaraikan dalam kategori tertentu.
“Sebarang karya yang tidak mengandungi kerja pencipta lagu tidak layak disenaraikan dalam mana-mana kategori,” jelas peraturan itu.
Pencipta lagu kini perlu menyumbang sekurang-kurangnya 20 peratus tenaganya dalam penghasilan album bagi membolehkan mereka dicalonkan.
Sebelum ini, mana-mana penerbit, penulis lagu, artis pilihan dalam album boleh mendapat pencalonan untuk kategori album terbaik walaupun hanya memberi input yang kecil.
Acara Anugerah Grammy mula diadakan pada tahun 1959 bagi menghargai sumbangan pencipta lagu dalam industri.
Pada November tahun lalu, OpenAI melancarkan ChatGPT, aplikasi perisian AI yang mempunyai keupayaan untuk menjana teks seperti manusia berdasarkan input mudah.
Teknologi program itu berpotensi untuk merevolusikan cara individu berinteraksi dengan komputer dan sudah mula disepadukan ke dalam pelbagai industri.
Orang ramai menyuarakan kebimbangan keupayaan dan kecanggihan teknologi AI yang semakin pantas boleh menggantikan peranan manusia. – REUTERS










