BOSTON: Bunyi bising dikesan dari kawasan pencarian kapal selam yang hilang berhampiran lokasi bangkai Titanic sejak Ahad lalu.
Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) berkata, pesawat P-3 Kanada mengesan bunyi di dalam air di kawasan pencarian dan operasi kenderaan kendalian jauh (ROV) segera dikerahkan dalam usaha untuk meneroka asal usul bunyi tersebut.
Kapal selam pelancong digelar Titan dilaporkan membawa lima penumpang termasuk seorang jutawan Britain dan bilionair Pakistan bersama anaknya.
Pengumuman Pengawal Pantai AS itu memberi petanda positif mangsa yang terbabit mungkin masih hidup.
Menurut Tentera Laut AS, bantuan diterima dari seluruh dunia termasuk sistem khusus untuk mengangkat objek berat di kawasan paling dalam serta kakitangan tambahan yang menyertai usaha menyelamat.
Pasukan penyelamat menganggarkan penumpang mempunyai kurang dua hari sebelum kehabisan bekalan oksigen berdasarkan kapasiti kapal selam itu yang mampu menampung sehingga 96 jam udara kecemasan.
“Terdapat kira-kira 40 jam udara bernafas yang tinggal berdasarkan laporan awal itu,” katanya.-AFP