ATHENS: Sekurang-kurangnya 17 pendatang maut selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Peloponnese di Greece.
Menurut pegawal pantai Greece, kira-kira 100 lagi pendatang berjaya diselamatkan.
Sebelum ini, pihak berkuasa mengesahkan insiden bot karam itu berlaku di perairan antarabangsa di Laut Ionian.
Situasi itu juga mendorong pelaksanaan operasi menyelamat secara besar-besaran yang menjadi sukar akibat cuaca buruk.
Dalam operasi menyelamat itu, beberapa kapal tentera laut, sebuah pesawat tentera, helikopter dan enam bot lain dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sejak pagi tadi, operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang dilaksanakan di perairan Pylos selepas sebuah bot nelayan yang sesak dengan pendatang karam di laut,” kata pengawal pantai.
Semua pendatang yang berjaya diselamatkan sudah dibawa ke Kalamata, manakala empat orang dalam keadaan serius dikejarkan ke sebuah hospital di bandar pelabuhan itu menerusi helikopter.
Menurut pengawal pantai, sebuah pesawat pengawasan dibawah agensi Frontex Eropah mengesan bot karam itu pada petang semalam, namun kumpulan pendatang dalam bot itu enggan menerima sebarang bantuan.
Agensi Frontex mengesahkan tiada mana-mana penumpang bot itu memakai jaket keselamatan.
Bagaimanapun, agensi itu tidak mendedahkan identiti termasuk kewarganegaraan pendatang berkenaan.
Terdahulu, pihak berkuasa memaklumkan bot yang membawa kumpulan pendatang itu berlepas dari Libya menuju ke Itali. – AFP










