15 maut treler, bas bawa warga emas bertembung di Kanada - Utusan Malaysia

15 maut treler, bas bawa warga emas bertembung di Kanada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTREAL : Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan 10 lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah treler dan bas yang membawa warga emas di wilayah Manitoba tengah Kanada pada Khamis,

Dalam kenyataan di Twitter, Polis Kanada (RCMP) berkata pihaknya menerima maklumat kejadian kemalangan yang berlaku berhampiran bandar Carberry, barat Winnipeg, dan menghantar unit pertama ke tempat kejadian.

Sementara itu, pegawai RCMP Manitoba Rob Hill memberitahu pemberita sebuah bas yang membawa kira-kira 25 orang penumpang, kebanyakannya warga emas, bertembung dengan sebuah treler di persimpangan Lebuhraya Satu dan Lebuhraya Lima.

“Seramai 15 orang disahkan meninggal dunia, manakala 10 lagi dibawa ke hospital dengan pelbagai kecederaan,” katanya.

Menurut Perbadanan Penyiaran Kanada, saksi melihat kenderaan terbakar di dalam parit berhampiran lebuh raya.

Sementara itu pekerja restoran berhampiran lokasi kemalangan, Nirmesh Vadera, berkata banyak kenderaan kecemasan turut membantu dan dua helikopter berada di tempat kejadian.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeu, berkata kejadian itu sangat menyayat hati dan beliau turut mengucapkan takziah kepada waris mangsa.

Pihak berkuasa berkata lebuh raya itu ditutup di kedua-dua arah dan pengguna diminta mengelak menggunakan kawasan itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN