Tujuh syarikat didenda sekat bekalan minyak masak - Utusan Malaysia

Tujuh syarikat didenda sekat bekalan minyak masak

SEORANG penjual menimbang satu beg minyak masak di pasar tradisional di Jakarta.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Agensi Antimonopoli Indonesia (KPPU) mengarahkan tujuh syarikat pengeluar minyak masak membayar denda sehingga AS$2.78 juta (RM12.29 juta) kerana menyekat jualan ketika masalah kekurangan bekalan melanda tahun lalu.

KPPU melancarkan siasatan terhadap aktiviti syarikat itu selepas kenaikan harga minyak sawit memaksa kerajaan Indonesia melaksanakan had sementara ke atas harga runcit minyak masak.

Indonesia yang dikenali sebagai pengeluar minyak sawit terbesar di dunia turut mengenakan larangan eksport terhadap bahan mentah berkenaan selama tiga minggu pertengahan tahun lalu.

Pengerusi Panel KPPU, Dinni Melanie berkata, tujuh daripada 27 syarikat dalam kes itu didapati bersalah mengehadkan pengedaran minyak masak jenama mereka sewaktu had harga runcit ditetapkan pada awal 2022.

Tujuh syarikat itu termasuk Salim Ivomas Pratama yang merupakan salah satu anak syarikat pengeluar makanan terbesar Indonesia, Indofood Group serta dua lagi unit di bawah Wilmar Group. 

Setiap syarikat itu diperintahkan membayar denda antara 1 hingga 40.9 bilion rupiah (RM307,325 hingga RM12.29 juta).

Wilmar Group dalam satu kenyataan berkata, pihaknya amat kecewa dengan keputusan itu dan percaya terdapat fakta yang mungkin disalah tafsir oleh KPPU.

“Dalam tempoh yang berkaitan, operasi minyak masak kami secara khusus, dan industri kami secara amnya, terjejas akibat isu rantaian bekalan teruk yang memberi kesan kepada penghantaran minyak masak,” katanya.

Bagaimanapun kesemua 27 syarikat dibebaskan daripada pertuduhan penetapan harga oleh KPPU.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.