COLOMBO: Tentera Laut Sri Lanka menemukan 14 mayat di dalam sebuah kapal nelayan China yang karam di tengah Lautan Hindi pada minggu lalu.
Dilaporkan, sekurang-kurangnya 39 orang lemas dalam insiden kapal nelayan karam di perairan itu.
Penemuan tersebut berlaku sehari selepas siasatan awal kerajaan China memutuskan tiada mangsa terselamat dalam insiden itu.
Kapal dikenali sebagai Lu Peng Yuan Yu 028 membawa 39 kru membabitkan 17 warga China, 17 warga Indonesia dan lima warga China.
Kapal berkenaan berada dalam lingkungan operasi mencari dan menyelamat kira-kira 5,000 kilometer (3,100 batu) ke barat Perth, Australia.
Menurut kenyataan tentera laut Sri Lanka, pasukan penyelamnya menemukan dua mayat dan mengesan 12 lagi mayat semalam.
Jelasnya, lokasi 12 mayat di dalam kapal itu dipetakan dan diserahkan kepada pihak berkuasa China.
Katanya, beberapa maklumat termasuk identiti dan warganegara mayat yang ditemukan itu masih belum diketahui.
Tambahnya, beberapa negara menyertai operasi mencari dan menyelamat termasuk Australia, India, Sri Lanka, Indonesia dan Maldives.
Dilaporkan, kapal tersebut dimiliki oleh Penglai Jinglu Fishery Co. dan menurut laman sesawang penjejakan Marine Traffic, kapal itu meninggalkan Cape Town pada 5 Mei lalu.
Kapal itu yang dalam perjalanan ke Busan, kali terakhir ditemukan pada 10 Mei di tenggara Pulau Reunion. – AFP