DHAKA: Pelarian Rohingya di Bangladesh terus menzahirkan kebimbangan dan rasa takut mengenai rancangan untuk menghantar mereka pulang semula ke Myanmar.
Jumaat lalu, delegasi seramai 27 orang termasuk wakil pelarian dan pihak berkuasa Bangladesh mengunjungi Rakhine untuk melihat sama ada keadaan sudah kembali stabil sehingga membolehkan kesemua pelarian yang ada di negara ini dihantar semula ke tempat asal mereka.
Dianggarkan sebanyak 1.2 juta pelarian Rohingya berlindung di beberapa kem pelarian di Bangladesh sejak 2016, apabila tempat tinggal mereka dimusnahkan oleh tentera Myanmar dalam operasi ketenteraan.
Usaha menghantar balik pelarian Rohingya ke Rakhine sudah menjadi agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak beberapa tahun lalu, namun sehingga kini, tiada sebarang proses berlangsung.
Pesuruhjaya Bantuan dan Pemindahan Pelarian Bangladesh, Mizanur Rahman berkata, pihak berkuasa Myanmar menawarkan skim Kad Pengesahan Kebangsaan kepada semua pelarian Rohingya yang pulang semula ke Rakhine.
Katanya, adalah lebih baik mempunyai kad pengenalan sebagai rakyat berbanding hidup tanpa negara di tempat lain.
“Myanmar adalah negara mereka, Rakhine adalah rumah mereka. Lebih baik pulang ke tempat sendiri.
“Di sini (Bangladesh), tiada apa yang boleh dilakukan selain berlindung di kem pelarian dan sampai bila mahu begitu?,” katanya kepada Arab News.
Dalam pada itu, seorang pelarian, Mohammed Rezuwan Khan mempersoalkan, adakah mereka tidak berdepan dengan situasi kejam seperti seperti sebelum ini jika pulang ke Rakhine?
“Adakah anda yakin kami tidak lagi diseksa selepas ini? Kami tidak mahu apa-apa selain mendapatkan hak kami sebagai rakyat.
“Kami tidak mahu anak cucu kami menjadi pelarian, hak kerakyatan membolehkan kami bekerja, cari duit sendiri,” ujarnya.