Pyongyang lancar satelit pengintip tentera pantau AS - Utusan Malaysia

Pyongyang lancar satelit pengintip tentera pantau AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Korea Utara mengesahkan pelancaran satelit peninjau tentera pertamanya pada Jun ini untuk pemantauan secara langsung aktiviti ketenteraan AS ketika Korea Selatan dan AS mulakan latihan simulasi menahan serangan Korea Utara.

Media kerajaan KCNA melaporkan, Naib Pengerusi Suruhanjaya Tentera Pusat Parti Pekerja yang memerintah, Ri Pyong-chol, mengecam latihan ketenteraan AS-Korea Selatan sebagai secara terbuka menunjukkan cita-cita melulu untuk pencerobohan mereka.

Sebelum ini, tentera Korea Selatan dan AS memulakan latihan tembakan langsung, mirip kepada serangan berskala penuh dari Korea Utara minggu lalu.

Ia disifatkan sebagai latihan terbesar untuk menunjukkan keupayaan ketenteraan luar biasa dua pihak itu terhadap ancaman dari utara.

Dalam satu kenyataan, Pyong-chol berkata latihan itu memaksa Pyongyang mengumpul maklumat mengenai tindakan ketenteraan musuh.

“Kami akan mempertimbangkan secara menyeluruh ancaman masa kini dan masa depan serta mempraktikkan dengan lebih teliti aktiviti untuk mengukuhkan penghalang perang yang merangkumi semua aspek yang praktikal,” katanya.

Kenyataan itu tidak menyatakan tarikh pelancaran yang tepat, tetapi Korea Utara memaklumkan Jepun mengenai pelancaran yang dirancang antara 31 Mei dan 11 Jun, mendorong Tokyo meletakkan pertahanan peluru berpandu balistiknya dalam keadaan berjaga-jaga.

Korea Utara yang bersenjata nuklear berkata ia sudah melengkapkan satelit pengintip tentera pertamanya dan pemimpin Kim Jong-un meluluskan persiapan terakhir untuk pelancaran itu.

Jurucakap Jabatan Negara AS berkata sebarang pelancaran Korea Utara yang menggunakan teknologi peluru berpandu balistik, termasuk yang digunakan untuk meletakkan satelit di orbit, akan melanggar beberapa resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sementara itu, Jepun berikrar untuk menembak jatuh mana-mana peluru yang mengancam wilayahnya, dan bertegas sebarang pelancaran peluru berpandu Korea Utara akan menjadi pelanggaran serius terhadap resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC). – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.