Pertempuran ganas merebak di Pakistan - Utusan Malaysia

Pertempuran ganas merebak di Pakistan

DUA lelaki melalui sebuah kenderaan polis yang rentung dibakar penunjuk perasaan di bandar Quetta, Pakistan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Pertempuran ganas meletus di Pakistan selepas bekas Perdana Menteri, Imran Khan ditahan ketika hadir di Mahkamah Tinggi di ibu negara berhubung kes rasuah kelmarin.

Pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan penyokong kuat Imran yang dilaporkan merebak ke seluruh negara, menyebabkan seorang maut di bandar Quetta sementara 10 lagi termasuk lima pegawai polis cedera.

PENUNJUK PERASAAN SASAR PASUKAN KESELAMATAN

Beberapa penunjuk perasaan melepaskan kemarahan terhadap tentera, menyerbu kediaman komander di Lahore dan mengepung pintu pagar ibu pejabat tentera di bandar Rawalpindi.

Polis dilaporkan melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penyokong Imran yang berkumpul di Karachi dan Lahore.

Ribuan penunjuk perasaan turut dilihat bertindak menghalang jalan di ibu kota Islamabad, Peshawar, dan beberapa bandar-lain.

Menurut pemantau internet global, Netblocks, pihak berkuasa Pakistan mengehadkan akses kepada laman Twitter, Facebook serta platform media sosial lain bagi mengelak api kemarahan dan rusuhan terus merebak.

Bercakap dari Washington, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berkata, beliau mahu memastikan bahawa apa sahaja yang berlaku di Pakistan adalah konsisten dengan kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan negara itu.

Setiausaha Luar United Kingdom (UK) James Cleverly turut senada dengan Blinken sambil menegaskan bahawa Britain menghormati hubungan rapat dengan anggota Komanwel itu dan mahu melihat kedaulatan undang-undang di Pakistan dipatuhi.

SITUASI BERTAMBAH BURUK

Kelmarin, penyokong Imran turut berkumpul di luar Suruhanjaya Tinggi Pakistan di London untuk membantah penahanannya.

Rakaman dramatik yang disiarkan media menunjukkan berpuluh-puluh pegawai tiba di Mahkamah Tinggi Islamabad sebelum menahan lelaki berusia 70 tahun itu dan membawanya menaiki kenderaan ke lokasi yang tidak diketahui.

Jurucakap Imran, Raoof Hasan berkata, beliau menjangkakan situasi mungkin bertambah buruk dan penahanan itu boleh menjerumuskan negara ke arah ketidakstabilan dan huru-hara.

“Kami sedang menghadapi pelbagai krisis. Terdapat krisis ekonomi, politik, kos sara hidup dan akibatnya peristiwa ini akan menjadi katarsis bagi mereka untuk melangkah keluar dan saya bimbang keganasan akan kembali berlaku,” katanya kepada BBC Newshour.

Seorang anggota pasukan undang-undang Imran, Raja Mateen berkata, kekerasan berkenaan tidak wajar digunakan terhadap beliau ketika penahanannya di mahkamah.

“Imran pergi ke pejabat biometrik. Renjer pergi ke sana, memecahkan tingkap, dan memukul kepala beliau dengan baton,” kata Raja.

Perkhidmatan data mudah alih di negara itu turut digantung atas arahan Kementerian Dalam Negeri ketika protes meningkat, kebanyakannya berlaku di hadapan perkarangan pejabat tentera.

Imran berdepan berpuluh-puluh pertuduhan sejak digulingkan dan bekas pemain kriket terkenal itu mungkin dihalang daripada memegang jawatan awam jika disabitkan kesalahan, sekali gus meleburkan peluang beliau untuk bertanding dalam pilihan raya yang dijadualkan akhir tahun ini.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya