Perompak tidak sedar curi ratusan kasut sebelah kanan - Utusan Malaysia

Perompak tidak sedar curi ratusan kasut sebelah kanan

TANGKAP layar di laman Twitter menunjukkan keadaan stor sebuah kedai di bandar Huancayo di tengah Peru selepas 220 kotak kasut kaki kanan dicuri oleh sekumpulan perompak.-AGENSI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIMA: Kumpulan trio pencuri di Peru menjadi tajuk utama berita antarabangsa gara-gara melakukan rompakan memalukan sebanyak 220 kotak kasut dari pelbagai jenama terkemuka yang hanya mengandungi sebelah pasang untuk kaki kanan sahaja.

Jenayah lucu itu berlaku pada 30 April lalu di sebuah kedai barangan sukan di bandar Huancayo di tengah Peru.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi (waktu tempatan) apabila tiga lelaki itu berjaya memotong mangga di bahagian belakang kedai dan mencuri tiga peti besar berisi kotak kasut sukan pelbagai jenama.

Namun, kumpulan itu tidak menyedari semua kotak tersebut hanya mengandungi kasut untuk kaki kanan sahaja, kerana pemiliknya menyusun kasut-kasut itu dalam peti berkenaan untuk digunakan dalam pameran barangan sukan tempatan.

Pihak berkuasa mengesyaki bahawa pencuri tersebut cuba menyembunyikan barangan rompakan tersebut kerana tidak mungkin mereka boleh menjual kasut di pasaran gelap tanpa pasangannya.

“Kami sudah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan perkara aneh mengenai kecurian ini ialah hanya kasut kaki kanan dicuri.

“Hanya sedikit masa diperlukan sebelum pencuri dikenal pasti, kerana wajah mereka berjaya dirakam kamera pengawasan di kedai itu termasuk meninggalkan beberapa kesan cap jari di tempat kejadian,” kata Ketua Polis Junin, Eduan Díaz kepada América Noticias.

Walaupun masih mempunyai kasut sebelah kiri dalam simpanan, pemilik kedai itu menganggarkan kerugian sekitar AS$13,000 (RM58,058) kerana tidak boleh menjual kasut itu secara individu, sama seperti kumpulan pencuri berkenaan.

“Sudah tentu mereka mungkin perlu menjualnya pada separuh harga,” gurau seorang pengguna Twitter.

Kedai kasut itu baru sahaja dibuka beberapa bulan lalu tetapi sudah menjadi salah satu mangsa kes kecurian menyasarkan kasut sukan jenama terkenal yang banyak dikesan di negara itu sejak akhir-akhir ini.

Pada pertengahan April, polis Peru berjaya menahan seorang perompak yang melarikan enam guni berisi kasut sukan dari sebuah kedai di bandar Ica di selatan Peru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya