Palestin ratapi kematian Khader Adnan - Utusan Malaysia

Palestin ratapi kematian Khader Adnan

KHADER ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Jet pejuang tentera Israel melancarkan serangan udara di Gaza dengan letupan kuat kedengaran di kawasan pinggir pantai ketika ketegangan memuncak berikutan kematian seorang banduan Palestin dalam tahanan akibat mogok lapar selama hampir tiga bulan.

Pengeboman Israel berlaku selepas roket dilepaskan dari Semenanjung Gaza berikutan kematian Khader Adnan kelmarin.

Media Hamas berkata, pesawat Israel turut membedil dua lokasi di bandar Gaza.

PERJUANGAN KHADER ADNAN

Khader Adnan, seorang aktivis yang bergabung dengan kumpulan Jihad Islam Palestin (PIJ), meninggal dunia di penjara Israel kelmarin selepas mengadakan mogok lapar selama 87 hari.

Khader yang ditahan sementara menunggu perbicaraan, dikejarkan ke hospital selepas didapati tidak sedarkan diri namun disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Aktivis terkenal Palestin itu pernah menjadi peguam bela politik untuk PIJ dan pertama kali ditahan oleh Israel selama empat bulan pada tahun 1999.

Beliau ditangkap sebanyak 12 kali oleh tentera Israel termasuk ditahan di bawah tahanan pentadbiran, kebanyakannya atas pertuduhan menganjurkan aktiviti yang mengancam keselamatan serantau.

Pada tahun 2014, beliau ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan yang kemudian dilanjutkan, menyebabkan Khader melakukan mogok lapar selama 56 hari hingga pembebasannya pada 12 Julai 2015.

Menurut Perkhidmatan Penjara Israel, penahan terakhir Khader  pada 5 Februari lalu berikutan tuduhan yang merangkumi kaitan dengan kumpulan haram dan hasutan kepada keganasan.

Kumpulan hak asasi Israel, B’Tselem menyifatkan mogok lapar Khader sebagai satu bentuk protes tanpa kekerasan terhadap penahanannya dan ketidakadilan pendudukan.

PERHIMPUNAN BANTAH KEMATIAN KHADER

Beratus-ratus penunjuk perasaan di Gaza dan Tebing Barat berhimpun menyokong perjuangan Khader dan meratapi kematiannya, yang disifatkan oleh pemimpin Palestin sebagai pembunuhan.

Tentera Israel berkata, sekurang-kurangnya 26 roket ditembak dari kawasan itu sejak awal pagi Selasa lalu. 

Dua bedilan roket itu mendarat di bandar selatan Sderot, mencederakan tiga orang, termasuk seorang warga asing berusia 25 tahun.

Terdahulu, Tel Aviv melepaskan tembakan meriam ke atas beberapa kawasan di bahagian timur  Gaza dan Khan Younis menyasarkan kawasan Malaka namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Di bandar Hebron di Tebing Barat, puluhan kedai mengadakan mogok dan menutup operasi sementara beberapa penunjuk perasaan membakar tayar serta membaling batu ke arah tentera Israel yang melepaskan gas pemedih mata ke arah mereka.

Tentera Israel dan kumpulan bersenjata Palestin di Gaza akhirnya bersetuju dengan gencatan senjata selepas semalaman berdepan serangan udara dan bedilan bom.

Gencatan senjata yang dilakukan secara serentak itu berkuat kuasa pada 3:30 pagi (waktu tempatan) semalam dan dilakukan dengan usaha daripada pegawai Mesir, Qatar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN