New York luluskan RUU lindungi penduduk obes

New York luluskan RUU lindungi penduduk obes

RANG undang-undang itu melarang diskriminasi berdasarkan `ketinggian dan berat' badan individu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Satu rang undang-undang kontroversi yang melindungi penduduk mempunyai berat badan berlebihan atau obes daripada diskriminasi, diluluskan di bandaraya New York.

Lapor Daily Mail, rang undang-undang itu akan melarang diskriminasi berdasarkan `ketinggian dan berat’ badan individu dalam bidang pekerjaan, perumahan serta penginapan awam.   

Rang undang-undang itu dijangka ditandatangani oleh Datuk Bandar New York, Eric Adams pada bulan ini.    

Bagaimanapun, ia sudah mencetuskan kebimbangan dan kemarahan pelbagai pihak termasuk Ketua Minoriti Majlis Bandaraya New York, Joseph Borelli mendakwa ia akan memberi kuasa kepada orang ramai untuk `menyaman sesiapa sahaja’.

Ahli majlis, Shaun Abreu, antara individu yang mengusulkan rang undang-undang itu, menyifatkan isu diskriminasi berat badan merupakan `beban senyap’ ditanggung oleh kebanyakan penduduk selama ini.

Malah, katanya, dia juga pernah berdepan situasi sama termasuk `dilayan secara berbeza’ apabila berat badannya bertambah lebih 18 kilogram (kg) semasa perintah berkurung akibat pandemik Covid-19.

Rang undang-undang itu mendapat sokongan badan amal dan aktivis seperti `Fat Fab Feminist’, Victoria Abraham yang memberi keterangan kepada majlis perbandaran untuk menyokongnya pada awal tahun ini.

Dilaporkan, rang undang-undang itu juga dijangka merangkumi pembelaan untuk majikan yang mana aspek ketinggian atau berat individu dilihat sebagai kewajaran diperlukan bagi operasi sesuatu pekerjaan.

Rang undang-undang itu mendapat sokongan meluas dan diluluskan selepas memperoleh 44-5 undian di majlis perbandaran pada Khamis lalu, namun turut menerima kecaman daripada beberapa pihak.   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN