12 ahli kumpulan jenayah terancang didakwa di mahkamah

12 ahli kumpulan jenayah terancang didakwa di mahkamah

SEBAHAGIAN ahli kumpulan jenayah terancang yang dihadapkan ke mahkamah di Johor Bahru, hari ini. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 12 individu termasuk seorang wanita dan remaja lelaki, didakwa di beberapa mahkamah berasingan hari ini, atas pertuduhan terlibat dalam kumpulan jenayah terancang, dua tahun lalu.

Tertuduh, I. Richi, 22; J. Jivaneswaran, 25; Mohamad Hazwan Sazali, 38; L. Navindran, 26; Lim Kah Weng, 26 dan R. Kesava Raj, 20, yang menganggotai ‘Geng Richi’ mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail dan Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, keenam-enam tertuduh didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Richi’ di Taman Permainan Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Taman Suria, Masai, di sini antara Februari 2024 hingga tahun lalu.

Sementara itu, M. Nageswaran, 33; I. Abdul Rahufur Rahim, 31; Tommy Voo Tze Hau, 28; M. Vimalanraj, 27; dan Kuek Pei Lin, 20, ahli `Geng Vincent’ turut mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyertai kumpulan jenayah terancang tersebut di Taman Lagenda Putra, Kulai, Johor, Mac 2025 hingga 15 Januari lalu.

Pada masa sama, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga ahli ‘Geng Vincent’ turut didakwa atas pertuduhan sama di hadapan Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid.

Kesemua 12 tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum dibawah peruntukan sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim dan Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim.

Tertuduh Pei Lin dan remaja lelaki tersebut diwakili peguam, Boon Wai King manakala Tze Hau diwakili peguam Sharifah Annafiza Al-Shahab Syed Fadzil.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan kepada semua tertuduh dan kes disebut semula pada 12 Mac depan bagi laporan forensik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN