KUBANG PASU: Polis menggagalkan cubaan menyeludup 40 karkas babi dari Thailand ke Pulau Pinang dalam Op Taring Chiller dekat Padang Besar, Parlis, kelmarin.
Operasi khas itu dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Cawangan Risik Batalion 1 Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, dalam operasi tersebut, polis menahan sebuah lori dinaiki dua lelaki warga tempatan berusia 32 dan 63 tahun.
“Pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan mendapati 40 karkas babi dianggarkan bernilai RM96,390 di bahagian sejuk beku.
“Hasil siasatan awal Cawangan Risik Batalion 1 mengesyaki bekalan karkas babi itu diperoleh dari kawasan Padang Besar dan dipercayai diseludup masuk dari Thailand,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Balveer Singh berkata, siasatan awal juga mendapati bekalan karkas babi tersebut akan dihantar ke Pulau Pinang untuk pasaran tempatan ekoran permintaan yang sangat tinggi.
“Kita percaya dua lelaki terbabit memperoleh sejumlah upah bagi penghantaran babi seludup itu dari Perlis ke sebuah pusat penyembelihan di Pulau Pinang sebelum dipasarkan. Jumlah upah dan laluan bekalan babi itu diseludup masih dalam siasatan,” katanya.
Kata Balveer, pihaknya turut merampas lori berkenaan, 40 karkas babi dan dua unit telefon bimbit dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM361,000.
“Kes disiasat di bawah Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut bagi Negeri Perlis 2013 yang dibaca bersama Seksyen 36(7) Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) yang membawa denda maksimum RM15,000,” katanya.-UTUSAN










