'Nenek meninggal tanpa keluarga di sisi, datuk pula ditembak'

‘Nenek meninggal tanpa keluarga di sisi, datuk pula ditembak’

ABDALLA Sholgami bersama isterinya. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang lelaki warga emas rakyat Britain parah ditembak oleh penembak tepat dan isterinya pula mati kebuluran selepas mereka dibiarkan terkontang-kanting oleh Kedutaan Britain di Sudan susulan konflik yang berlaku di negara itu.

Abdalla Sholgami, 85, dan isterinya yang uzur, Alaweya Rishwan, 80, hanya berada di seberang jalan dari pejabat Kedutaan Britain di Khartoum.

Di sebalik berulang kali dia dan isterinya meminta pertolongan, pemilik hotel di London itu tidak pernah ditawarkan untuk meninggalkan Sudan, biarpun pasukan tentera Britain dihantar ke negara itu bagi membawa keluar petugas-petugas diplomatik.

Malahan, pasangan warga emas itu diminta pergi ke sebuah pangkalan udara yang terletak 40 kilometer di luar Khartoum, menyaksikan mereka perlu melintasi zon konflik untuk menaiki penerbangan pulang ke tanah air.

Konflik di Khartoum mula memuncak selepas 15 April lalu, menyaksikan perebutan kuasa antara pasukan tentera dengan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

HUBUNGI KEDUTAAN

Beberapa hari selepas konflik bermula, Sholgami dan isterinya menghubungi kedutaan untuk mengetahui maklumat terkini dan jika mereka boleh dibawa pulang ke London.

“Datuk dan nenek saya berada kira-kira ’empat langkah sahaja’ dari bangunan kedutaan, namun tiada seorang pun mahu hulurkan bantuan kepada mereka.

“Saya dimaklumkan 100 anggota tentera dikerahkan ke kedutaan untuk memindahkan semua petugas, tidakkah mereka tahu datu dan nenek saya hanya berada di seberang?,” Soal cucu Sholgami, Azhaar.

Berdepan dengan kebuluran dan tiada bekalan air, Sholgami terpaksa meninggalkan isterinya yang uzur di rumah bagi mendapatkan bantuan.

DITEMBAK TIGA KALI

Ketika keluar mendapatkan bantuan, Sholgami ditembak tiga kali, mengenai dada, tangan dan bahagian belakangnya oleh penembak tepat.

Dengan kecederaan parah dan hospital tidak beroperasi, keluarga Sholgami membawanya ke suatu tempat sebagai perlindungan.

Keluarga Sholgami seterusnya menghubungi Kementerian Luar UK untuk meminta bantuan menyelamatkan Alaweya yang tinggal berseorangan di rumah, namun gagal.

Akhirnya, Alaweya ditemukan mati akibat kebuluran dan mayatnya ditemukan oleh pegawai kedutaan Turkiye beberapa hari kemudian. Mayatnya masih berada di rumah berkenaan sehingga kini tanpa dapat dikebumikan.

“Apa yang berlaku terhadap datuk dan nenek saya amat tidak boleh diterima. Kedutaan Britain sepatutnya boleh menyelamatkan mereka, namun mereka memilih untuk tidak melakukannya.

“Nenek saya meninggal dunia tanpa ada keluarga di sisi dan lebih menyedihkan, mayatnya tidak dapat dikebumikan,’ ujar Azhaar.

BUKAN SEMUA DISELAMATKAN

Dalam pada itu, Kementerian Luar UK mengetahui tentang kes yang menimpa Sholgami dan menyifatkannya sebagai insiden yang ‘amat menyedihkan’, namun menegaskan ‘pihak berkuasa Britain tidak boleh menawarkan bantuan kepada semua orang berikutan situasi tegang’.

“Konflik yang berterusan di Sudan menunjukkan situasi di negara itu sentiasa dalam bahaya.

“Dalam situasi tegang, tidak semua mampu diselamatkan dan kami juga bersedih dengan insiden yang berlaku,” menurut kementerian itu.

Sementara itu, Sholgami kini berada di Mesir bagi mendapatkan rawatan perubatan akibat kecederaannya.

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.