Masyarakat Indonesia 'taksub' dengan dukun ganda duit, polis tingkat kawalan - Utusan Malaysia

Masyarakat Indonesia ‘taksub’ dengan dukun ganda duit, polis tingkat kawalan

SUSPEK dukun ganda duit yang didakwa membunuh sejumlah mangsa, Slamet Tohari menunjukkan kepada polis lokasi dia menanam mangsanya. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KARAWANG: Polis Indonesia berusaha membanteras kegiatan penipuan dukun yang mendakwa boleh menggandakan duit, namun bertindak membunuh mangsa jika mereka cuba menuntut kembali wang yang diberikan.

Menurut polis, terdapat modus operandi yang menunjukkan suspek sanggup melakukan keganasan apabila mangsa menuntut wang mereka kembali termasuk menggunakan racun bagi membunuh mereka.

Aktiviti penipuan itu bagaimanapun masuh berleluasa dan iklan mengenainya tersebar luas dalam media sosial Indonesia.

Hasil semakan AFP Fact Check di Jakarta, terdapat sebanyak 12 hantaran di Facebook yang mengiklankan skim pelaburan bomoh dan dilihat lebih 1.4 juta kali setakat minggu ini.

Terdapat satu catatan, yang dibaca sebanyak 643,000 kali dari 8 April hingga 17 Mei, mendakwa seorang bomoh mampu membantu orang ramai melipatgandakan dana mereka, malah mendakwa perkhidmatan itu tidak melanggar ajaran Islam.

Wartawan AFP kemudian menghubungi nombor WhatsApp yang dikaitkan dengan salah satu muat naik itu dan diminta menghantar gambar kad pengenalan mereka bagi menentukan kelayakan untuk ‘skim wang ajaib’.

Hampir 10 peratus penduduk di Indonesia hidup di bawah paras kemiskinan dan menganggap bomoh sebagai pengubat tradisional pilihan pertama.

Seorang wanita warga Indonesia yang pernah menjadi pembantu rumah di Dubai, Aslem, mendakwa dia antara yang tertipu dengan skim kononnya mampu menjadikan pelaburan kecil menjana keuntungan besar.

Aslem berkata, selepas berpindah ke Dubai pada 2016, beliau mula terpengaruh dengan skim itu, ditawarkan bomoh bernama Aki Banyu, yang diperkenalkan oleh rakannya.

Katanya, bomoh itu memulakan sesi pemujaan dengan melaungkan mantra, dan berjanji wangnya akan meningkat beberapa kali ganda tidak lama lagi.

“Saya memberikan sekitar 288 juta rupiah (RM88,774) selepas dia berjanji untuk meningkatkan wang itu kepada hampir 2 juta rupiah (RM9 juta),” katanya.

Polis kemudiannya mengenal pasti lelaki itu sebagai Wowon Erawan, 60, dipercayai bersubahat dengan dua lagi dalang bagi menjalankan aktiviti menipu pekerja asing supaya menghantar wang kepada mereka.

Dalam sidang akhbar Januari lalu, polis menuduh ketiga-tiga mereka membunuh sembilan orang untuk menutup jenayah masing-masing.

Menurut polis, tiga lelaki itu sudah ditahan dan mereka turut mengaku membunuh mangsa dengan memberi mereka minuman bercampur racun perosak.

April lalu, polis menahan seorang lagi bomoh yang dipercayai pembunuh bersiri, Slamet Tohari, 45, selepas seorang lelaki dilaporkan hilang oleh keluarganya.

Slamet, yang turut menjalankan aktiviti penipuan sama, mempengaruhi mangsa melakukan upacara, sebelum meracuni mereka selepas diminta mengembalikan wang.

Sekurang-kurangnya 12 mayat ditemukan di sekitar kediaman Slamet dan polis turut menerima laporan kehilangan 28 lagi individu lagi, yang masih disiasat. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya