ISTANBUL: Golongan lesbian, gay, biseksual transgender dan pelik (LGBTQ) di Turkiye takut terdedah dengan lebih banyak kebencian homofobia selepas mendakwa Presiden Recep Tayyip Erdogan menjadikan kumpulan itu sebagai modal pada kempen pemilihan presiden.
Erdogan sebelum ini lantang menyuarakan pandangannya mengenai kegiatan LGBT yang disifatkan mencemarkan syiar Islam dan mengancam nilai kekeluargaan tradisional dan menggelar golongan tersebut sebagai ‘sesat’.
Erdogan juga secara terang-terangan menyelar pesaingnya, Kemal Kilicdaroglu yang berikrar untuk ‘menghormati kepercayaan, gaya hidup dan identiti semua individu, termasuk LGBT’.
Selepas melanjutkan pemerintahannya selama dua dekad sehingga 2028 dalam pilihan raya pada Ahad lalu, Erdogan menggunakan peluang tersebut untuk menyasarkan LGBT ketika bertemu dengan penyokongnya di Istanbul.
“Adakah CHP LGBT? Adakah HDP LGBT?,” Soalnya sambil merujuk parti sekular Kilicdaroglu dan kumpulan utama pro-Kurdish yang menyokong pakatan pembangkang.
Pertanyaannya disambut jeritan penyokongnya yang menjawab ya dan Erdogan meneruskan pertanyaan sama ada parti AKP pimpinannya mesra LGBT.
“Tidak!” Jawab penyokongnya.
Seorang aktivis LGBT, Ilker Erdogan mendedahkan dia berasa takut berada di bawah pimpinan Erdogan.
“Sejak dilahirkan, saya berdepan diskriminasi yang menakutkan, homofobia serta kebencian,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Turkiye, Suleyman Soylu sebelum ini juga lantang mengecam kegiatan LGBT dengan menyifatkannya sebagai ‘agama yang diimport dari barat dan sama seperti perkahwinan antara haiwan dan manusia’. – AFP